‘Berjaya berkat doa ibu’ - Utusan Malaysia

‘Berjaya berkat doa ibu’

Nurul Asyikin Sapuwan yang ditemani Noraishah Sulong tiba di kolej kediaman UiTM Shah Alam, Jumaat lalu untuk meneruskan pembelajaran secara bersemuka. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Alhamdulillah, memang berkat doa ibu.”

Itulah bekalan paling bermakna buat Nurul Asyikin Sapuwan, 22, mahasiswa semester 5 jurusan kejuruteraan kimia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang tidak menjadikan kesempitan hidup keluarganya untuk tidak berjaya dalam pelajaran.

Gambar anak kedua daripada enam beradik itu menarik perhatian apabila kembali semula ke kampus dengan sebuah van usang yang digunakan ibunya, Noraishah Sulong untuk menjual kuih setiap hari.

Nurul Asyikin dari Kampung Ujong Permatang, Kuala Selangor sebelum ini tiba di kampus selepas menempuh perjalanan hampir dua jam untuk mendaftar di kampus, Jumaat lalu.

Menceritakan latar belakang keluarganya, Nurul Asyikin ketika dihubungi memberitahu, kesempitan hidup memang menjadi cabaran lebih-lebih lagi apabila berada di kampus.

“Ketika di semester 3 dan 4, kuliah dijalankan secara online distance learning (ODL) jadi tidak terasa sangat soal belanja sara diri, tetapi bila balik kampus semua kena bercatu dan berjimat cermat supaya boleh digunakan untuk siapkan tugasan,” katanya.

Namun, Nurul Asyikin akui pendapatan harian ibunya ti­daklah seberapa jika diban­ding­kan menanggung lima orang anak termasuk dirinya.

Dia berkata, keadaan itu biasa baginya sejak ayah dan ibunya memilih haluan masing-masing ketika berusia 11 tahun.

“Saya dan adik menuntut di UiTM Shah Alam, sementara tiga lagi di bangku sekolah, seorang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), nombor lima akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bongsu pula di Tingkatan 4.

“Disebabkan memikir soal tanggungan, saya bekerja secara sambilan dekat sebuah kedai cermin mata berhampiran rumah. Gaji yang saya dapat, alhamdulillah boleh bayar yuran dan keperluan pembelajaran.

“Cuma bimbang, bila sudah kembali ke kampus, tidak pasti kalau dapat buat kerja sambilan untuk meringankan beban ibu sebab belum terima tajaan lagi,” ujarnya.

Meskipun berhadapan caba­ran, Nurul Asyikin tidak mensia-siakan peluang dalam pelajaran.

Dia meraih Anugerah Naib Canselor (ANC) dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.63 semasa peringkat diploma dan di peringkat ijazah sehingga semester lalu 3.71 mela­yakkannya menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Alhamdulillah, ini memang berkat doa ibu dan saya amat berharap sebab dapat mengurangkan bebannya untuk menanggung adik-adik yang masih bersekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×