Bella Dally aktif berbasikal - Utusan Malaysia

Bella Dally aktif berbasikal

Berbasikal menjadikan Bella semakin cergas melakukan aktiviti harian termasuk sesi penggambaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun mempunyai air muka yang ayu, siapa sangka pelakon ini amat menggemari aktiviti lasak.

Ramai sedia tahu, pelakon manis jelita, Bella Dally dan aktiviti berbasikalnya bersama suami tersayang, Arif Izuddin tidak dapat dipisahkan lagi.

Bermula dengan hanya memiliki sebuah basikal asas sahaja, kini pasangan dua sejoli itu sudah mempunyai basikal yang dikatakan ‘profesional’ bak kata peminat basikal hasil daripada minat mereka itu.

Kongsi Bella, minat terhadap dunia berbasikal mula tercetus selepas suaminya secara rawak berhasrat untuk memiliki basikal sebagai hobi baharu.

“Saya dengan suami minat berbasikal sejak dua tahun lalu, sebenarnya sangat rawak selepas suami saya memberitahu hasratnya membeli basikal.

“Maka, kami membeli basikal yang memang asas kerana pada ketika itu kami tiada pengetahuan mengenai basikal.

“Lama kelamaan kami menemui kawan baharu yang racun untuk menaik taraf basikal kami supaya lebih senang untuk mendaki bukit dan sebagainya. Jadi, dari situlah minat berbasikal lagi kuat,” katanya.

Bukan tidak tahu bab berbasikal ini, namun Bella dan suami tercintanya mengambil inisiatif untuk mempelajari lebih terperinci mengenai aktiviti berbasikal terutama berkaitan teknikal basikal itu sendiri.

“Basikal pertama saya adalah berjenama Specialized Bike. Malah, syarikat berkenaan telah mengambil saya sebagai salah seorang duta. Saya rasa sangat gembira kerana memang minat basikal jenis itu.

“Justeru itu, kami pun belajar lebih terperinci mengenai basikal. Saya banyak berborak terutama dengan rakan-rakan suami yang sangat meminati berbasikal.

“Selain itu, saya pun rajin belajar menerusi YouTube dan mengikuti laman berbasikal di Instagram,” ujarnya ketika ditemu bual.

Bebas, sihat dan bertenaga

Bintang ini juga mendedahkan aktiviti berbasikal membuatkan dirinya sentiasa kekal sihat dan bertenaga berbanding sebelum ini selain dapat mengekalkan berat badan.

Kata Bella, jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini, tubuh badannya mudah letih dan lesu selepas bekerja akibat tidak tahan dengan keadaan cuaca luar.

Namun, selepas bergiat aktif dalam dunia berbasikal ini, pelakon drama popular Akulah Balqis ini juga mengakui aktiviti berkenaan dapat membiasakan dirinya terhadap cuaca di luar yang tidak menentu.

“Kenapa saya gemar sangat sukan ini kerana rasa bebas apabila berbasikal. Malah, tahap kecergasan saya pada waktu ini pun lebih baik berbanding dahulu sejak berbasikal. Setiap minggu kami akan mengayuh 100 kilometer (km) tetapi bergantung kepada jadual kami juga.

“Tetapi, setiap minggu minimum kami akan berbasikal 50km. Jadi, saya rasa tubuh badan sangat berbeza apabila pergi penggambaran di luar, biasanya dahulu badan saya jadi lemau (lesu) akibat cuaca luar.

“Namun, kini apabila aktif berbasikal, saya mampu bertahan dengan cuaca luar. Sedikit sebanyak sudah terbiasa dengan cuaca di luar,” tuturnya.

BELLA dan suami, Arif Izuddin berkongsi minat yang sama dalam aktiviti berbasikal.

Dalam pada itu, jika memilih aktiviti dua roda ini sebagai hobinya sekali pun, dia tetap akan melakukan aktiviti yang lain agar terus kekal sihat.

“Selain itu, saya memang seorang yang aktif, jika bukan berbasikal pun saya tetap akan melakukan aktiviti lain seperti jogging, berlari serta mendaki,” katanya.

‘Jatuh pasti ada’

Ketika ditanya mengenai cabaran sebagai salah seorang pencinta dua roda ini, dia mendedahkan pada mulanya menceburi sukan ini pasti akan mengalami kejatuhan.

“Cabaran terbesar saya berbasikal semasa baru mula berbasikal, saya tidaklah fit seperti sekarang.

“Jadi pada waktu itu saya mudah letih. Banyak juga yang saya perlu menjaga, jatuh sudah semestinya. Semua orang baru bermula pasti akan jatuh,” kongsi Bella.

Kini dilihat masyarakat sudah memandang negatif terhadap kumpulan berbasikal oleh kerana ada segelintir yang ‘menyusahkan’ pengguna jalan raya.

Bella menegaskan agar sentiasa berhati-hati dan tidak cuai di jalan raya sehingga menyebabkan kesusahan pengguna yang lain.

Malah, pelakon popular ini juga berpendapat sebaiknya bercampur dengan mereka yang berpengalaman dalam sukan ini agar sedikit sebanyak memperoleh ilmu pengetahuan.

“Bukan semua orang mempunyai kecuaian sebegitu, justeru, penting sebelum mula melakukan aktiviti ini perlu mengetahui peraturan sebelum berbasikal atas jalan raya.

“Selain itu, kita sendiri perlu sentiasa berhati-hati dan bercampur dengan mereka yang sudah ada pengalaman dalam berbasikal ini,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×