Bajet 2022: M40 terus terpinggir - Utusan Malaysia

Bajet 2022: M40 terus terpinggir

BAJET 2022 yang akan dibentangkan hari ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diharap membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19. -GAMBAR HIASAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAU: Bajet 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang terbesar pernah diperuntukkan dalam sejarah negara diakui memberi manfaat kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain ke arah usaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Namun bajet dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kelmarin didakwa masih mempunyai kekurangan apabila kurang memberi perhatian terhadap golongan berpendapatan sederhana (M40).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pensyarah Universi­ti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ka­ma­rul Azman Khamis berkata, setiap kali pembentangan bajet, go­longan M40 yang ternanti-nanti insentif yang dapat memberi ruang dan peluang kepada mereka terus kecewa.

Menurut beliau yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS), antara ke­perluan M40 seperti lanjutan mo­ratorium sekurang-kurang­nya memberi manfaat kepada golongan tersebut selain bantuan lain yang lebih fleksibel.

Kata Kamarul Zaman, golo­ngan M40 juga antara yang terkesan akibat pandemik Co­vid-19 dan perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Jadi saya lihat ia perlu dikemas kini dan ditambah nilai ke atas insentif kepada kepada golongan tersebut (M40) yang turut berdepan kesukaran dalam menjalankan aktiviti harian dan mencari sumber pendapatan.
“Keprihatinan terhadap golongan tersebut akan memberi impak baik khususnya dalam meningkatkan ekonomi masyarakat,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, insentif dalam sektor pertanian khususnya membabitkan pesawah dan penoreh getah yang terkesan ditambah dengan kenaikan harga barangan juga perlu diberikan perhatian.

“Wajarnya insentif yang diberikan kepada golongan tersebut tanpa mengenakan syarat dan sebagainya memandangkan golongan ini juga banyak membantu di dalam merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Senada pensyarah kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UUM, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar pula berkata, setiap tahun golongan M40 dilihat kurang diberikan perhatian sedangkan mereka antara yang menyumbang kepada pendapatan negara.

Katanya, lanjutan moratorium dalam tempoh enam bulan selain pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 secara one-off perlu diberikan pertimbangan oleh kerajaan.
Menurutnya, dalam usaha ke arah pemulihan ekonomi, lanjutan moratorium dan pengeluaran KWSP mampu membantu mereka yang terkesan memulakan perniagaan seterusnya menjana pendapatan.

“Apabila keadaan makin stabil, lanjutan moratorium atau pengeluaran KWSP itu tidak perlu dilaksanakan. Ia sekurang-kurangnya sebagai salah satu insentif kepada golongan M40 selepas mereka kurang mendapat perhatian dalam bajet ini,” katanya. – MINGGUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×