SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan sebuah patung kuil bernilai RM2.7 juta, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Datuk M. Natarajen, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md. Razali.
Mengikut kertas pertuduhan, Natarajen sebagai ahli jawatankuasa kuil Sri Balathandayuthabani di Rantau di sini setelah diamanahkan dengan suatu harta iaitu sebuah patung batu gabro Dewa Murugan untuk tujuan pembaikan didakwa telah melakukan pecah amanah berkaitan dengan harta tersebut.
Tertuduh didakwa tidak mengembalikan patung asal yang dianggarkan bernilai RM2.7 juta sebaliknya telah menyerahkan patung lain ke kuil tersebut yang menyerupai patung asal.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, dalam prosiding kes berkenaan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Anak Mawan menawarkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan syarat tambahan dikenakan ke atas tertuduh.
Pihak pembelaan yang diwakili tiga peguam diketuai M.Manoharan kemudiannya memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan kes tersebut telah lama berlaku selain anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.
Menurut Manoharan, prinsip jaminan adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukannya menjadi satu hukuman sebelum disabitkan kesalahan.
“Kes ini melibatkan patung dewa agama Hindu, satu isu awam dan sensitif.
“Selain itu, anak guam saya merupakan orang dikenali di Negeri Sembilan dan kes ini telah menjejaskan reputasi serta perniagaannya,” katanya.
Jelas pihak pembelaan, tertuduh mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja serta empat orang anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan kes disebut semula 10 November depan. -UTUSAN ONLINE











