49 dikompaun RM73,500 tak jaga jarak imbas kod QR  - Utusan Malaysia

49 dikompaun RM73,500 tak jaga jarak imbas kod QR 

POLIS melakukan pemeriksaan di sebuah premis bagi memastikan pematuhan SOP PPN dipatuhi pelanggan di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegagalan 49 pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mudah iaitu menjaga penjarakan fizikal dan mengimbas kod QR mengundang padah apabila dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM73,500. 

Kesemua individu tersebut dikesan melanggar perintah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika operasi pematuhan dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sekitar bandar raya ini, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis  membuat pemeriksaan di tujuh buah premis dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 8 malam.

Katanya, daripada 103 individu yang diperiksa, seramai 49 berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati melakukan kesalahan melanggar SOP ditetapkan. 

“Kesemua mereka ini dikesan tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis dan tidak mengimbas kod QR sebelum memasuki premis berkenaan. 

“Oleh itu, setiap seorang individu yang dikesan dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM73,500,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Raub memberitahu, daripada premis yang diperiksa itu didapati empat daripadanya dikesan gagal menyediakan laluan keluar masuk dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal pelanggan.

“Setiap pemilik premis dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan jumlah RM40,000.

“Keseluruhan kompaun yang dikenakan terhadap 32 lelaki dan 21 wanita termasuk empat pemilik premis adalah sebanyak RM113,500,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN