YAN: Seorang remaja lelaki di Kampung Kuala Ruat di sini terpaksa mengambil tugas menjaga kebajikan dua adik tiri perempuannya apabila menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia selang 20 hari, baru-baru ini.
Amirul Hilmi Mohd. Shukri, 22, berkata, walaupun berlainan bapa, namun kasih sayang terhadap Nur Amira Natasya Romli, 13, dan Nur Amanina Hazwani Romli, 15, tidak berbelah bahagi kerana mereka dibesarkan bersama sejak kecil.
Katanya, dia kematian bapa kandung sejak berumur setahun dan tinggal bersama Nur Amira dan Nur Amanina hasil perkahwinan ibunya kali kedua serta mereka tiga beradik cukup rapat dan mesra.
“Ibu kami meninggal dunia akibat kanser otak pada 13 Ogos lalu, kemudian diikuti bapa tiri saya akibat Covid-19 pada 2 Oktober lalu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Ruat di sini semalam.
Ibu mereka, Normala Mat Desa, 45, suri rumah meninggal dunia selepas sehari mendapat rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Alor Setar.
Sementara, bapa mereka, Romli Saad, 56, pula seorang nelayan pukat bilis di Tanjung Dawai, Merbok di sini meninggal dunia akibat Covid-19 selepas menerima rawatan selama 21 hari iaitu seminggu selepas ditidurkan di HSAH.
Amirul Hilmi yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah dusun milik seorang penduduk memberitahu, selepas ini dia akan menanggung persekolahan Nur Amira Natasya dan Nur Amanina Hazwani yang masih belajar di tingkatan satu serta tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan.
Pada masa sama, katanya, dia yang berpendapatan RM700 sebulan juga terpaksa menyara makan dan minum kepada dua adik tirinya itu, selain perlu menjelaskan bayaran rumah sewa yang diduduki kira-kira RM250 sebulan.
“Selepas berbincang dengan ahli keluarga lain, kami bercadang untuk menempatkan Nur Amira dan Nur Amanina di sebuah asrama anak yatim di Sungai Petani untuk memudahkan mereka belajar.
“Dua beradik itu bersetuju untuk tinggal di asrama anak yatim dan kini saya sedang dalam proses perbincangan lebih lanjut dengan pihak pengurusan asrama berkenaan,” katanya.
Menurut Amirul Hilmi lagi, dia bersyukur kerana sering mendapat bantuan dan sokongan daripada ahli keluarga, orang ramai dan kenalan rapat sejak kematian ibu bapa mereka.- UTUSAN











