Harga rumah dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Harga rumah dijangka meningkat

KERAJAAN diminta campur tangan untuk mengatasi kenaikan kos bahan binaan yang dijangka akan melonjakkan harga rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pe­maju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) tidak menolak kemungkinan harga rumah akan naik jika harga bahan binaan di pasaran terus meningkat.

Presidennya, Datuk Soam Heng Choon berkata, buat masa ini pemaju masih mengekalkan harga hartanah sedia ada.

“Namun, sekiranya fenome­na harga bahan binaan yang kian meningkat berlanjutan, pemaju hartanah mungkin tiada pilihan selain harus menyesuaikan harga rumah dan mengenakan caj tambahan.

“Sebilangan harga bahan binaan telah meningkat 10 hingga 150 peratus dalam tempoh 12 bulan terakhir dan impaknya amat serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan kesan kenaikan harga bahan binaan kepada industri hartanah tempatan.

Menurut Heng Choon, harga bahan mentah pembinaan meningkat dengan ketara disebabkan kenaikan harga bahan mentah global seperti bijih besi, tembaga dan aluminium menyebabkan harga keluli dan wayar tembaga turut meningkat.

Jelas beliau, kenaikan harga bahan tempatan yang lain pula disebabkan kehabisan stok yang terkumpul semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 dilaksanakan.

Menurut beliau, semua stok yang terkumpul telah dijual dan kilang pula tidak dibenarkan untuk beroperasi semasa PKP.

“Bahan-bahan tempatan yang terkesan itu akan mengambil masa sehingga beberapa bulan untuk pulih semula,” katanya.

Bagi kos keluli, tembaga dan aluminium pula, katanya, ia akan berubah-ubah disebabkan harga bahan mentah global yang masih sangat tinggi.

Dalam pada itu, Heng Choon memberitahu, penjualan hartanah kini semakin pulih selepas empat bulan tidak dibenarkan beroperasi.

“Nasib baik kebanyakan pemaju telah menggunakan pe­masaran digital dan lawatan maya untuk mempromosikan penjualan dalam talian semasa PKP. Kami menerima laporan pengambilan dan penjualan yang lebih baik.

“Kami berharap pemulihan penjualan itu akan berterusan dan pemulihan ekonomi negara dapat memenuhi objektif sasaran yang telah ditetapkan.

“Kami juga berharap kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2022 yang akan turut membantu menyegarkan industri hartanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN