ALOR SETAR: Kerajaan diminta lebih terbuka dengan mendedahkan lokasi-lokasi berisiko dilanda bencana seperti tanah runtuh termasuk di kawasan kediaman dan pusat peranginan agar komuniti di lokaliti tersebut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM), Abd. Rasid Jaapar berkata, ketika ini, pihaknya dimaklumkan terdapat banyak kajian dilakukan agensi atau jabatan berkaitan mengenai kawasan-kawasan bahaya yang tidak didedahkan kepada umum.
Menurut beliau, berdasarkan Pelan Induk Cerun Kebangsaan, terdapat kira-kira 20 kawasan di Semenanjung dan lapan di Sabah serta Sarawak yang dikenal pasti berisiko untuk berlaku kejadian tanah runtuh.
“Kita mahu cakap mengenai kawasan tidak selamat ini ‘bahaya’ sebab apabila beritahu, nilai tanah itu mungkin menurun dan orang di situ pun akan marah.
“Tetapi kerajaan pada hakikatnya ada inventori tanah-tanah runtuh dan bencana selain melakukan pemetaan bencana serta risiko cerun dibuat pelbagai jabatan antaranya Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kata Abd. Rasid, ada lokasi berisiko dilanda bencana tersebut membabitkan kawasan perumahan dan lokasi pelancongan popular yang sedang menjadi tumpuan orang ramai yang dibenar rentas daerah setelah sekian lama `dikurung’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan.
“Apabila kita sebut berpotensi, tidaklah bermaksud kawasan itu tidak boleh didiami atau dikunjungi langsung. Cuma ada beberapa langkah perlu diambil sama ada oleh kerajaan atau orang ramai bagi memastikan keadaannya selamat.
“Di sesetengah kawasan berbukit, bukan sahaja ada tanah runtuh malah turut berlaku gempa bumi berskala rendah. Walaupun skalanya rendah, jika tidak diawasi boleh menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan mendatangkan bencana besar dalam jangka masa tertentu,” katanya.
“Kita mungkin menganggap banyak pihak akan tersinggung dengan pendedahan ini tetapi dalam pada kita menuju ke arah negara maju, keterbukaan antara semua pihak terlibat adalah cukup penting demi memastikan kita bersiap siaga dalam berdepan segala kemungkinan,” katanya.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Rodeano Roslee berkata, pemantauan bersasar oleh kerajaan boleh mengelak tanah runtuh lebih teruk dan menjejaskan lokaliti populasi manusia.
Menurut beliau, di negeri ini antara kawasan berisiko dikesan ialah laluan utama Jalan Tamparuli-Ranau, Jalan Nabalu-Taman Kinabalu dan Jalan Penampang-Tambunan serta Jalan Kimanis-Keningau.
“Laluan tersebut berisiko berlaku tanah runtuh kerana proses hakisan, kadar luluhawa yang tinggi, latar belakang geologi yang kompleks mahupun akibat aktiviti manusia,” kata beliau ketika dihubungi.
Oleh itu, katanya, kerajaan boleh menggunakan alat pemantaun cerun melalui imej satelit secara berkala setiap minggu, bulan atau tahun untuk melihat proses pergerakan tanah di kawasan cerun yang berisiko berlaku tanah runtuh.
“Sekiranya ada perubahan akibat aktiviti manusia seperti pemotongan bukit bagi tujuan penanaman semula atau pembangunan, kerajaan boleh mengambil langkah lebih awal bagi mencegah kerosakan lebih teruk.
“Melalui pemantauan bersasar ini, kerajaan boleh memberi keutamaan kepada kawasan yang memerlukan proses pemindahan atau mitigasi dengan segera. Jika perlu, alihkan laluan lebih awal dan pindahkan penduduk di kawasan sekitar sebelum berlaku tanah runtuh,” katanya.
Rodeano berkata, jangan tunggu sehingga kejadian tanah runtuh berlaku kerana kos pemindahan sebelum tanah runtuh jauh lebih rendah berbanding selepas berlaku runtuhan yang boleh mengancam nyawa manusia.
Mengenai penduduk yang tinggal di kawasan berbukit seperti di Kopungit dekat sini dan Kundasang pula, beliau berkata, masyarakat di situ perlu diberi peringatan tentang risiko berlaku tanah runtuh.
“Misalnya mewujudkan garis panduan atau peraturan tertentu seperti pembinaan rumah pada jarak 10 meter dari kawasan lereng bukit, tidak dibenarkan membina rumah atau bangunan di kawasan cerun curam lebih 20 darjah dan kawasan zon sesar atau berlatar belakangkan geologi yang kompleks perlu ditetapkan bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila kejadian tanah runtuh berlaku,” katanya.- UTUSAN










