100 jemaah berlepas ke Mekah selepas lebih setahun menunggu - Utusan Malaysia

100 jemaah berlepas ke Mekah selepas lebih setahun menunggu

Sebahagian jemaah umrah yang berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah di KLIA, Sepang baru-baru ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG:  Perasaan syukur, gembira dan teruja digambarkan sekumpulan 100 jemaah umrah di bawah kendalian Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. apabila berpeluang menunaikan ibadah tersebut selepas lebih setahun menunggu susulan pandemik Covid-19.

Kesemua jemaah termasuk empat mutawif adalah kumpulan ketiga daripada syarikat tersebut sekali gus merupakan kumpulan terbesar berlepas ke Jeddah, Arab Saudi menerusi penerbangan Saudi Arabian Airlines pada pukul 7 malam serta akan pulang ke tanah air pada November ini.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, kumpulan jemaah tersebut tiba ke Jeddah sebelum bergerak ke Madinah dan akan memasuki Mekah pada 4 November.

Menurut beliau, segala persiapan berjalan  lancar walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ia tidak menjadi kekangan kepada pengurusan jemaah umrah di bawah syarikat tersebut.

“Disebabkan pandemik Covid-19, segala persiapan kursus umrah kepada semua jemaah dibuat secara dalam talian. Kita turut berkomunikasi dengan pihak di sana bagi mendapatkan maklumat lanjut,” kata beliau  ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Kata beliau, kapasiti yang dihadkan juga melancarkan lagi perjalanan menunaikan ibadah berikutan semua jemaah perlu mematuhi SOP.

Tambah beliau, seramai 12,000 jemaah umrah sudah berdaftar dengan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. untuk menunaikan ibadah sebelum pandemik Covid-19 dan mereka diberi peluang dalam tempoh tiga tahun ini untuk melaksanakan ibadah tersebut.

Sementara itu, jemaah umrah, Maimunah Semaon, 63, meluahkan syukur dapat menunaikan umrah selepas menunggu lebih setahun biarpun sedikit ralat kerana tidak dapat ke tanah suci bersama suami.

“Suami saya mengambil vaksin Sinovac dan perlu mengambil dos lagi untuk ke sana. Sepatutnya kami ke sana berlima termasuk tiga kakitangan yang bekerja di sekolah tahfiz diusahakan kami.

“Bagaimanapun, hanya saya dan seorang lagi kakitangan berlepas hari ini. Ini kali pertama saya berjauhan lama dengan suami dan dia juga reda dengan perjalanan saya ke tanah suci,” ujarnya.

Jemaah lain, Khajar Ahmad Mohtaram, 50, berkata, dia bersyukur apabila majikan menanggung kos menunaikan ibadah umrah sebagai hadiah berkhidmat sebagai kakitangan di sekolah tersebut kira-kira 10 tahun.

“Ini kali pertama saya ke tanah suci dan saya juga baru kehilangan suami bulan Jun lalu kerana serangan jantung. Suami mengalami sesak nafas sewaktu bekerja dari rumah.

“Justeru kehadiran saya ke tanah suci ini, sudah tentu saya akan mendoakan suami dan juga berhajat untuk menunaikan ibadah umrah untuknya,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN