OTTAWA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, meninggalkan sidang kemuncak G7 di Banff, Kanada lebih awal daripada jadual asal dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada ketegangan di Asia Barat, menurut kenyataan Rumah Putih pada Isnin.
“Trump akan kembali ke Washington malam ini bagi menangani pelbagai isu penting,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt. Trump pada asalnya dijadualkan berada di Kanada sehingga lewat Selasa.
“Beliau telah melalui hari yang produktif di G7 termasuk menandatangani perjanjian perdagangan utama dengan Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer. Banyak pencapaian telah diperoleh, tetapi berikutan situasi di Asia Barat, beliau akan berangkat pulang malam ini selepas makan malam bersama ketua-ketua negara,” tulis Leavitt di platform X.
Menurut sumber, walaupun hanya menghadiri beberapa jam awal sidang itu, kehadiran Trump mencetuskan ketegangan apabila beliau enggan menandatangani kenyataan bersama G7 yang menyeru kepada pengurangan ketegangan antara Israel dan Iran.
Beberapa jam kemudian, Trump mengeluarkan amaran dramatik di media sosialnya menyeru warga Iran supaya segera mengosongkan ibu kota mereka.
“Semua orang harus segera keluar dari Tehran!” tulisnya tanpa memberikan sebab.
Kenyataan itu dilihat sebagai satu tekanan tambahan terhadap Iran dalam usaha membawa negara itu kembali ke meja rundingan ketika pertelingkahan antara Tehran dan Tel Aviv terus memuncak.
Dalam sidang media ringkas di G7, Trump membayangkan beliau mungkin akan mencapai persetujuan diplomatik dengan Iran tidak lama lagi.
“Saya rasa Iran sebenarnya sudah berada di meja rundingan dan mereka mahu capai perjanjian. Sebaik saya tinggalkan sini, kami akan lakukan sesuatu,” katanya tanpa menghuraikan lanjut.
Keengganan Trump menandatangani kenyataan bersama itu dengan pantas memisahkannya daripada rakan-rakan sejawat di G7 termasuk negara-negara Eropah yang menjadi peneraju penyediaan draf kenyataan tersebut.
Draf itu antara lain menegaskan hak Israel untuk mempertahankan diri dan menolak sebarang kemungkinan Iran memperoleh senjata nuklear.










