Wanita curi tabung masjid ada masalah keluarga - Utusan Malaysia

Wanita curi tabung masjid ada masalah keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Wanita yang didakwa di Mahkamah Majistret di Kangar semalam atas tuduhan mencuri tabung Masjid Padang Pauh Padang Besar, pernah dirujuk kerana mempunyai permasalahan keluarga.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan melihat keperluan wanita tersebut termasuk bantuan rumah sewa selain bantuan segera diberikan.

Katanya, difahamkan pada masa ini, wanita tersebut masih bergelar isteri namun dalam proses pembubaran perkahwinan dan anak lelakinya tinggal bersama keluarga mentua wanita berkenaan.

“Dalam tempoh terdekat ini, sejumlah sumbangan  dihulurkan beberapa kali oleh pihak MAIPs dan MAIPs turut merujuk pihak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk membantu memantau keadaan dan keperluan wanita berkenaan secara berkala termasuk bantuan rumah sewa.

“Selain itu, isu yang dihadapi oleh wanita tersebut turut dirujuk kepada agensi kerajaan berkaitan untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan sokongan selain turut mendapat bantuan daripada pihak bukan kerajaan yang amat prihatin,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar atas tuduhan mencuri tabung di sebuah masjid di Padang Pauh, Padang Besar, pada Sabtu lalu.


NOR AMIRA Roslan (tengah) dibawa keluar dari lokap sebelum memasuki Mahkamah Majistret Kangar atas pertuduhan mencuri tabung masjid di Kangar, Perlis, semalam. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI

Tertuduh, Nor Amira Roslan, 28, yang bekerja sebagai tukang cuci membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri tabung di Masjid Sirajuddin di Padang Pauh dengan wang bernilai RM40 yang berada di dalam tabung tersebut kira-kira pukul 8.45 malam pada Sabtu lalu.

Tambah kenyataan tersebut, pengurusan MAIPs dihujani dengan persoalan berkaitan isu wanita berkenaan dan majlis itu telah segera menghubungi pihak masjid selain turut membuat semakan berkaitan individu terbabit.

Katanya, meneliti isu tersebut, pengurusan MAIPs berharap agar perkara itu dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

“Selaras dengan petunjuk daripada contoh tauladan golongan terdahulu, pihak tertuduh wajar diberikan ruang untuk kembali merubah diri dan dalam masa yang sama, pengurusan masjid juga harus diberikan ruang untuk menjalankan peranan dengan sewajarnya. 

“Adapun, isu positif bahan terlarang dan sebarang isu lain yang tidak membabitkan pihak masjid, pihak MAIPs menyerahkan hal itu kepada pihak berkuasa.

“Atas prinsip itu, marilah sama-sama kita mendoakan agar perkara ini dapat diselesaikan sebaiknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN