PUTRAJAYA: Malaysia dianggap ketinggalan apabila tergolong antara 11 negara yang belum memberi hak kepada rakyat 18 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya.
Selain Malaysia, negara lain seperti Singapura, Samoa, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Tonga, Kuwait, Nauru, Oman, Bahrain, Taiwan dan Cameroon turut tidak memberi hak kepada belia berusia 18 tahun mengundi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pada masa ini lebih 160 negara yang mengamalkan sistem demokrasi memilih kerajaan melalui pilihan raya sudah mewujudkan satu undang-undang memberi hak mengundi kepada golongan itu.
Justeru kata beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan kerajaan dan SPR supaya membenarkan warganegara 18 hingga 20 tahun kelayakan mengundi dalam pilihan raya amat tepat.
Katanya, keputusan itu bukan sahaja kerana pindaan Perlembagaan Undi18 sudah pun diluluskan sebulat suara di Parlimen sejak 2019, tetapi yang lebih penting ialah hak mengundi kepada rakyat golongan muda yang mana semua dalam perundangan lain mereka sudah ditakrifkan orang dewasa.
“Mereka dikenakan membayar cukai, dikeluarkan lesen memandu, lesen senjata api, layak menyertai angkatan tentera dan polis, boleh menjadi saksi atau dihukum sebagai rakyat dewasa di mahkamah, layak menandatangani perjanjian dan lain-lain lagi.
“Kalau semua perkara warga 18 tahun dianggap umur dewasa dan diberikan pelbagai hak dan kelayakan, mengapa mereka tidak diberi kelayakan untuk mengundi? Mereka membayar cukai, maka sepatutnya diberi hak untuk memilih kerajaan yang menentukan nasib hidup mereka,” katanya di sini semalam.
Beliau menjelaskan, dengan kemasukan pengundi 18 tahun ke dalam Daftar Pemilih, jumlah pengundi baharu akan bertambah dan sekiranya sistem pendaftaran juga dapat dibuat secara automatik seperti mana telah diluluskan dalam Perlembagaan, maka akan ada lagi tambahan pemilih baharu rakyat yang belum mendaftar sehingga 2021.
Katanya, jumlah pengundi baharu keseluruhan akan bertambah lebih ramai, sekali gus menjadikan bilangan pengundi yang berhak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh melebihi 23 juta berbanding 14.9 juta pada PRU-14.
Beliau berkata, dengan penglibatan pengundi umur 18 tahun dalam pilihan raya, ia mendorong parti-parti politik untuk menambah penyertaan lebih ramai calon terdiri daripada orang muda.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.
Pada 25 Mac lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan bahawa Undi18 dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.
Bagaimanapun beliau berkata, SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilihan automatik dan Undi18 seperti yang diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada PRU-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










