JOHOR BAHRU: Tiga sindiket yang giat melakukan aktiviti memproses dan menjual air ketum tumpas susulan penahanan 17 individu dalam tujuh siri serbuan di sekitar daerah ini, Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri dan Tangkak.
Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN daerah-daerah dalam tempoh seminggu bermula 27 Ogos lalu menahan 13 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 56 tahun.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut diberkas ialah tiga penjawat awam berusia antara 32 hingga 42 tahun kerana terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan ketum.
SIDANG akhbar Ayob Khan mengenai rampasan daun ketum di Johor Bahru. – VIDEO/RAJA JAAFAR ALI
“Dalam serbuan ini, Polis Johor berjaya merampas 542.73 kilogram (kg) daun ketum dan 300 liter air ketum bernilai RM8,435 selain beberapa peralatan memproses ketum turut dirampas.
“Modus operandi kegiatan ini dengan membawa bekalan ketum yang diperoleh dari utara tanah air menggunakan lori dan mengisytiharkan sebagai barangan keperluan utama serta dibawa bersama barang keperluan lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kegiatan itu menjadi popular sejak kebelakangan ini ekoran harga pasaran ketum yang tinggi selain permintaan yang meningkat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, sindiket itu dikesan beroperasi di rumah dan gudang sebagai tempat memproses air ketum sebelum dijual kepada pembeli dengan penghantaran terus kepada pelanggan, menjual di rumah dan secara dalam talian.
“Hasil risikan yang dijalankan sebulan lalu mendapati tiga sindiket berkenaan didapati sudah beroperasi sejak awal tahun dengan menjual air ketum antara RM15 hingga RM20 bagi satu liter,” katanya.
Ayob Khan berkata, rampasan keseluruhan daun dan air ketum itu boleh digunakan seramai 11,155 pengguna.
Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada yang ditahan positif dadah jenis methamphetamin, selain tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Ayob Khan berkata, suspek direman antara tiga hingga tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Dalam pada itu, bermula 1 Januari hingga 4 September lalu, JSJN Johor sudah membuat tangkapan seramai 8,998 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan pada masa sama sudah merampas sebanyak 10.89 tan dadah dengan nilai keseluruhan RM352.36 juta. -UTUSAN ONLINE