JOHOR BAHRU: Tiga lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal di daerah ini tumpas apabila dicekup polis dalam lima serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sepasukan polis daripada Cawangan Risikan Operasi (D4), Bahagian Siasatan Jenayah JBS melancarkan Op Lejang antara pukul 4 pagi hingga 6 petang hasil maklumat.
“Dalam serbuan itu, polis telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 25 hingga 38 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal.
“Ketiga-tiga mereka ini aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini kira-kira setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas empat buah motosikal, enam buah enjin motosikal, satu rangka motosikal, lapan unit lampu motosikal pelbagai jenis, sembilan komponen motosikal, lima set peralatan curi yang telah diubah suai dan dua batang kunci khas.
Beliau berkata, semakan rekod ke atas kesemua suspek mendapati kesemuanya memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati salah seorang suspek masih dikehendaki pihak polis bersabit kes dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.
“Soal siasat awal terhadap kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes curi motosikal dengan meleraikan dan mengubahsuai nombor enjin dan nombor casis motosikal tersebut.
“Polis menasihatkan pemilik kenderaan khususnya pemilik motosikal supaya tidak meninggalkan motosikal di tempat sunyi atau tidak dikawal selain menggunakan kunci tambahan pada motosikal,” katanya.
Ujar beliau, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – UTUSAN