Tiada kes kit ujian kendiri Covid-19 dijual mahal di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Tiada kes kit ujian kendiri Covid-19 dijual mahal di Pulau Pinang

KIT ujian Covid-19 menggunakan sampel air liur dijual di pasaran. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tiada penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) dijual melebihi harga siling seperti ditetapkan kerajaan dalam kalangan peruncit dan pemborong di Pulau Pinang. 

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, ia berdasarkan sebanyak 55 pemeriksaan yang dilakukan sejak 5 September lalu. 

Menurut beliau, menerusi operasi itu pihaknya mendapati pemborong dan peruncit mematuhi harga maksimum diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) oleh kerajaan. 

“Operasi ini akan dijalankan dari semasa ke semasa dan sehingga 12 September ini, mana-mana peruncit seperti farmasi atau pemborong yang didapati menjual kit itu pada harga lebih tinggi daripada harga siling ditetapkan hanya akan diberikan amaran. 

“Bagaimanapun, selepas 12 September, mereka yang menjualnya melebihi harga maksimum boleh dikenakan kompaun di bawah AKHAP,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi kilang yang mengeluarkan kit ujian kendiri Covid-19, Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (MIVSB) di Batu Maung dekat sini hari ini. 

Bermula Ahad lalu, KPDNHEP menguatkuasakan harga runcit maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 pada harga RM19.90 manakala RM16 bagi harga borong maksimum (seunit). 

Mereka yang menjual melebihi harga itu selepas 12 September ini boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP 2011 iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000 bagi individu manakala denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat. 

Dalam perkembangan berkaitan Mohd. Ridzuan menambah, pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM269,000 kepada premis di Pulau Pinang berkait kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan PKP sejak tahun lalu hingga kini. 

Ujar beliau, kompaun itu melibatkan  sebanyak 45 kes daripada keseluruhan 1,632 pemeriksaan dan pematuhan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 

“Kesalahan yang dikesan menerusi operasi ini termasuk gagal mengimbas aplikasi MySejahtera dan gagal mempamerkan had kemasukan pelanggan pada pintu masuk premis seperti restoran, kedai dobi dan sebagainya,” katanya. 

Sehubungan itu, Mohd. Ridzuan mengingatkan peniaga mematuhi harga maksimum ujian kit kendiri serta SOP  kerajaan dalam bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19. 

Ujar beliau, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan mengenai isu pematuhan itu kepada KPDNHEP menerusi pelbagai saluran yang disediakan antaranya menghubungi Bilik Gerakan di talian 04-3840245; aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317; e-mel di [email protected] dan sebagainya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN