PETALING JAYA: Sesi persekolahan 2021 dilanjutkan untuk tamat pada Mac 2022 bagi semua murid dan pelajar sekolah.
Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, selepas cuti penggal ketiga dari 11 hingga 31 Disember ini, tahun persekolahan 2021 akan disambung sehingga Mac 2022.
“Tempoh ini akan digunakan Kementerian Pendidikan untuk memantau anak-anak dan melihat sokongan apa yang perlu diberikan bagi memastikan mereka bersedia untuk mara ke kelas berikutnya,” kata beliau pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, pelajar hanya boleh ke tahap berikutnya selepas penilaian dan mereka diberikan bantuan yang perlukan.
“Contohnya, pelajar Tahun 6 akan kembali ke tahap sama apabila penggal persekolahan baharu bermula Januari tahun depan,” kata beliau.
Katanya, pelajar akan menjalani pembelajaran intensif bagi memastikan kemampuan mereka di tahap minimum yang diperlukan untuk mara. – UTUSAN