Selangor, N.Sembilan, Melaka makin panas - Utusan Malaysia

Selangor, N.Sembilan, Melaka makin panas

Tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan alami suhu purata harian makin panas dalam tempoh sembilan tahun lalu. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bahagian tengah semenanjung Malaysia mengalami kenaikan suhu purata harian kira-kira satu darjah Celcius dalam tempoh sembilan tahun dari 2011 hingga 2020.

Ia membabitkkan tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan. Data Jabatan Meteorologi menunjukkan bagi tempoh tersebut, suhu di ketiga-tiga negeri itu direkodkan secara purata meningkat daripada 27.5 darjah Celcius kepada 28.5 darjah Celcius.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, perubahan iklim antropogenik seperti urbanisasi dan keragaman iklim seperti El Nino menyumbang kepada peningkatan suhu melebihi paras biasa di wilayah-wilayah tersebut.

MUHAMMAD HELMI ABDULLAH

Menurut beliau, purata suhu normal di ketiga-tiga negeri itu di bawah 27 darjah Celcius.

“Berdasarkan pencerapan dan pemantauan, suhu purata tahunan terpanan dicatatkan di negara ini pada tahun 2016 iaitu 27.84 darjah Celcius iaitu 0.87 melebihi normal (purata 1981–2010) diikuti tahun 1998 (27.70), 2019 (27.63) dan 2020 (27.52),” kata beliau.

Selain itu, kata Helmi, perubahan iklim tempatan juga berlaku di kawasan sama dalam tempoh berkenaan apabila hujan dilaporkan meningkat daripada 2,500 milimeter (mm) setahun pada 2011 menghampiri 3,000 mm pada 2019.

Justeru, dengan peningkatan jumlah hujan disebalik pengecilan kawasan hutan simpan yang menjadi kawasan tadahan air, dibimbangi bakal mengakibatkan bencana besar seperti banjir dan puing melanda negeri-negeri tersebut yang kini seperti ‘pulau konkrit’. (ini Surin Suksuwan punya analisis)

Oleh demikian, pakar konservasi dan pengurusan hutan, Surin Suksuwan mencadangkan kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri terlibat agar mengekalkan baki hutan yang tinggal selain mencari jalan untuk meningkatkan kembali jumlah kawasan boleh dipulihara sebagai hutan simpan.

SURIN SUKSUWAN

“Antaranya seperti memastikan kawasan diberikan kepada agensi kerajaan tetapi tidak dibangunkan, sebaliknya dipulihkan kembali sebagai kawasan hutan kerana dengan cara demikian peratusan hutan simpan boleh ditingkatkan di mana-mana negeri terbabit,” kata beliau.

Sebagai rekod, Selangor mempunyai 6,555, 400 penduduk, Melaka 937,500 dan Negeri Sembilan 1,129,100 penduduk.

Beliau menambah, tindakan memulihara hutan harus segera dilakukan terutama di tiga negeri yang sedang mengalami kesan iklim akibat penyerosotan hutan.

“Kalau tengok laporan Jabatan Meteorologi, memang tidak dinafikan kawasan pusat bandar suhu lebih tinggi berbanding kawasan yang ada litupan hutan ataupun pokok yang lebih menyeluruh.

“Tetapi masalahnya disebabkan oleh tekanan yang amat tinggi untuk pembangunan, jadi kerajaan negeri sentiasa dapat cadangan untuk membuka lebih banyak kawasan hutan. Ini yang menyebabkan hutan kita dinyahwarta,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN