KOTA BHARU: Orang ramai tidak perlu beremosi dengan statistik kes rogol remaja bawah umur di negeri ini yang dilaporkan media semalam, sebaliknya melihat dari perspektif positif termasuk sebagai peringatan terutama kepada ibu bapa.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Kelantan (Awan), Dr. Hafidzah Mustakim berkata, pendedahan dan perkongsian maklumat Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat membolehkan anggota masyarakat mengambil iktibar.
Berkongsi pendapat dengan Utusan Malaysia, biarpun peningkatan jenayah terbabit hanya enam peratus, beliau sendiri selaku seorang ibu dan aktivis masyarakat berasa bimbang dan cakna lalu terpanggil untuk memainkan peranan mencegahnya.
“Peningkatan kes rogol bawah umur membuka mata kita tentang keruntuhan moral dan perlunya penghayatan agama dalam kalangan anak remaja dan masyarakat termasuk di musim pandemik.
“Kalau sebelum pandemik program-program jati diri dan kempen kesedaran kesihatan seksual serta reproduksi remaja kita dapat jalankan di sekolah.
“Namun, dengan pandemik, usaha pemerkasaan jati diri remaja banyak yang terencat, gara-gara kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat mendedahkan kes rogol melibatkan remaja berusia 13 hingga 16 tahun meningkat di negeri ini berdasarkan aduan dan statistik kes sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi berkata, didikan agama secukupnya kepada anak-anak adalah kewajiban yang perlu dibuat ibu bapa bagi menghindar sebarang perilaku mungkar.
Katanya, anak-anak perlu dididik menjaga maruah diri dan keluarga demi kebaikan di dunia dan akhirat, dan aspek itu lebih mustahak berbanding menjaga harta dan rupa paras.
“Rupa boleh kita sobek (ubah suai) untuk kelihatan cantik, harta boleh dicari ganti, namun, maruah diri sekali direnggut tanpa nikah, nilai diri tidak dapat pulih sampai bila-bila,” ujarnya.- UTUSAN











