RM27.5 juta kos projek tebatan banjir di SPS  - Utusan Malaysia

RM27.5 juta kos projek tebatan banjir di SPS 

MANSOR Othman (kiri) ketika menghadiri sesi taklimat khas RTB sempena program lawatan kerjanya untuk meninjau keadaan banjir di beberapa kampung di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dijangka memperuntukkan sehingga RM27.5 juta untuk dua projek tebatan banjir dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini. 

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, projek pertama melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kechil yang dianggarkan menelan belanja sehingga RM16.5 juta. 

Menurut beliau, projek itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah Sungai Kechil yang semakin sempit sekali gus tidak mampu menampung aliran air sungai ketika hujan lebat terutama dari kawasan hulu negeri Kedah. 

“Projek kedua iaitu RTB Sanglang telah dimohon untuk dilaksanakan di bawah ‘Rolling Plan’ Kedua (RP2), Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan nilai kos projek keseluruhan RM11 juta. 

“Bagaimanapun, permohonan itu masih dalam semakan dan kelulusan agensi pusat,” kata beliau selepas sesi taklimat khas RTB sempena program lawatan kerjanya untuk meninjau keadaan banjir di Kampung Sethu, Kampung Jawi dan sepanjang aliran Sungai Jawi, di sini susulan kejadian banjir besar di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu. 

Mengulas lanjut, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  telah mengenal pasti punca kejadian banjir di ketiga-tiga lokasi tersebut setakat ini iaitu disebabkan oleh limpahan air dari Sungai Kechil. 

“Keadaan banjir ini akan bertambah buruk akibat aliran deras yang telah menghanyutkan kayu-kayu balak serta sampah-sarap yang tersangkut hingga menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan penempatan berdekatan,” ujar beliau. 

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan dua projek tebatan banjir itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 7,665 penduduk yang sering terkesan akibat kejadian banjir sebelum ini. 

“Saya menyarankan orang ramai supaya memuat naik aplikasi MyPublic Info Banjir bagi mendapatkan maklumat mengenai ramalan banjir yang disediakan oleh pihak JPS bagi membolehkan persediaan awal dibuat. 

“Pada masa sama, mereka juga dinasihatkan memastikan saluran air seperti longkang yang berdekatan rumah atau kawasan berisiko banjir tidak tersumbat terutamanya ketika hujan lebat,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya