Reform Parlimen, Sabah tuntut lebih banyak kerusi - Utusan Malaysia

Reform Parlimen, Sabah tuntut lebih banyak kerusi

WILFRED MADIUS TANGAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hasrat Perdana Menteri ingin melakukan transformasi Parlimen disambut baik oleh pemimpin pembangkang di Sabah.

Namun, transformasi itu perlu seiring dengan kehendak pemimpin Sabah yang sudah lama menanti perubahan dilakukan bagi meningkatkan jumlah kerusi Parlimen mahupun jumlah senator di Dewan Negara.

Presiden Pertubuhan Kinabalu ProgResif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pembahagian kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak pada masa ini tidak adil kerana jika dilihat 60 peratus tanah Malaysia berada di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini, Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan jumlah itu tidak sampai 1/3 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang terdapat di negara ini.

Katanya, jika ingin melakukan penambahan kerusi mungkin agak sukar kerana ia membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tapi, apa yang boleh diubah pada masa ini adalah wakil senator dari Sabah dan Sarawak dalam Dewan Negara.

“Sekarang terdapat 70 senator dan 40 ahli Dewan Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong manakala, setiap negeri mempunyai dua wakil. Ini tidak adil kepada Sabah dan Sarawak yang mempunyai 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dan 82 kerusi DUN di Sarawak.

“Oleh itu, sekiranya kerajaan tidak dapat memberikan 1/3 kerusi di Dewan Rakyat maka, 1/3 kerusi dalam Dewan Negara perlu diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam webinar ‘Masa Depan Demokrasi Berparlimen’ semalam.

Tambahnya, jika benar Perdana Menteri ingin melakukan transformasi Parlimen, kerajaan perlu mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk membolehkan semua ahli Parlimen terlibat secara langsung dalam membuat draf Rang Undang-undang.

Ahli Parlimen Tuaran ini berkata, ahli-ahli Parlimen sebagai pembuat dasar perlu diberikan kuasa untuk sama-sama terlibat dalam membuat undang-undang di negara ini.

Pada masa ini, kuasa membuat undang-undang merupakan tugas Pejabat Peguam Negara yang tidak melibatkan ahli-ahli Parlimen.

Jelas beliau, UPKO ingin menuntut agar peranan Parlimen diperkukuhkan sebagai pembuat dasar dan bukan sekadar berlakon semasa pembentangan di Dewan Rakyat.

Disamping itu, beliau mahu ahli-ahli Parlimen yang baru juga diberikan latihan menerusi satu institusi khas yang perlu diwujudkan bagi membolehkan semua ahli Parlimen tahu tentang undang-undang semasa berbahas di Dewan Rakyat. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN