WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal dilaksanakan antara Israel dan pejuang Hamas serta akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke seluruh Gaza.
Kesemua 14 negara lain dalam majlis tersebut mengundi menyokong draf itu ketuka krisis kemanusiaan semakin meruncing di wilayah yang dihuni lebih dua juta orang, yang bergelut dengan kebuluran.
“Pendirian Amerika Syarikat jelas, kami tidak akan menyokong sebarang langkah yang gagal mengutuk Hamas dan tidak menyeru Hamas meletakkan senjata serta meninggalkan Gaza,” kata Duta Sementara AS ke PBB, Dorothy Shea, kepada majlis sebelum pengundian semalam.
Beliau turut berhujah, langkah itu juga akan menjejaskan usaha yang diketuai AS untuk merundingkan gencatan senjata.
Washington merupakan sekutu besar Israel dan pembekal utama senjatanya.
Pengundian Majlis Keselamatan itu berlangsung ketika Israel meneruskan serangan ketenteraan di Gaza, selepas menamatkan gencatan senjata selama dua bulan pada Mac lalu.
Duta Britain ke PBB, Barbara Woodward, mengkritik keputusan kerajaan Israel untuk memperluas operasi ketenteraan di Gaza dan mengehadkan bantuan kemanusiaan, dengan menyifatkannya sebagai tindakan tidak dapat diterima serta membawa kesan buruk.
Israel menolak seruan untuk gencatan senjata tanpa syarat atau kekal, atas alasan Hamas tidak boleh terus berada di Gaza.
“Anda memilih untuk berdamai dan tunduk. Anda memilih jalan yang tidak membawa keamanan, hanya keganasan,” kata Duta Israel ke PBB, Danny Danon.
Sementara itu, Hamas mengecam kuasa veto oleh AS dan menyifatkannya sebagai bukti pentadbiran AS berat sebelah kepada Israel secara membuta tuli.
Draf resolusi Majlis Keselamatan turut menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang ditahan oleh Hamas serta pihak lain.- AGENSI










