PUTRAJAYA: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyokong idea Datuk Seri Azalina Othman agar diwujudkan segera undang-undang khusus antilompat parti.
Bagaimanapun, beliau berpendapat usaha murni itu agak sukar dilaksanakan dalam masa terdekat kecuali sebahagian besar ahli Parlimen tampil menyokong usul berkenaan.
“Undang-undang sebegini harus disokong sebagai solusi atau jalan keluar waima kena pinda Perlembagaan pun mestilah diusahakan dan pandangan itu harus diambil serius,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini.
Hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dilaporkan menerima usul Azalina itu yang mencadangkan Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi membolehkan para pengundi menarik mandat wakil rakyat keluar parti dengan diadakan pilihan raya kecil bagi menjamin kestabilan kerajaan dan memastikan gejala ‘pembelian’ ahli Parlimen tidak lagi berlaku.
Mengulas lanjut, Rais bagaimanapun berpendapat, cabaran mewujudkan peraturan tegas sedemikian amat besar walaupun dari segi teori, ia amat baik demi kepentingan rakyat jelata.
“Ini perlu banyak kerja rumah yang rumit kecuali Pengerang dapat sokongan lebih dua pertiga ahli Parlimen kerana dari segi praktikal, idea sebegini susah dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau merujuk satu kes diputuskan sebuah mahkamah di Kelantan beberapa tahun lalu apabila hakim menyifatkan hak kebebasan menyertai mana-mana parti tidak boleh dihalang.
Justeru, beliau berpandangan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mungkin harus dipinda untuk mengekang aktiviti tidak sihat itu yang disifatkannya sumpama katak politik.
Langkah itu ujar beliau, sekiranya berjaya diwartakan akan mampu menyelamatkan negara daripada kancah berpolitik tanpa henti sepanjang tahun sehingga mengabaikan nasib rakyat.
“Saya fikir amat elok sebab ketika ini ramai didapati lebih sibuk fikir siapa akan jadi pemimpin dan mereka tidak fokus kepada isu kebajikan masyarakat susah ketika Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE