IPOH: Polis hari ini menafikan dakwaan dua pelajar sebuah sekolah di Perak yang meninggal dunia disebabkan komplikasi suntikan Vaksin Covid-19 seperti yang tular dalam media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dakwaan itu bukan sahaja tidak benar malah kematian pelajar terbabit juga tiada kaitan dengan suntikan imunisasi berkenaan.
Katanya, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai itu dilaporkan meninggal dunia pada 18 Julai dan 17 September lalu sedangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) hanya bermula Isnin lalu.
“Kita terima laporan pada 18 Julai lalu mengatakan terdapat seorang pelajar perempuan sekolah itu yang meninggal dunia disebabkan positif Covid-19.
“Pelajar itu mempunyai rekod sakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik dan telah dua bulan kritikal di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, kematian seorang lagi pelajar pula dilaporkan pada 17 September lalu membabitkan remaja lelaki berusia 17 tahun yang meninggal dunia disebabkan sakit jantung.
“Kedua-dua kejadian ini tiada kena mengena dengan vaksin kerana PICK Remaja hanya bermula pada 20 September lalu,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung dakwaan itu termasuk memanggil inidvidu yang terlibat dalam rakaman video berkenaan.
Terdahulu, video tular berdurasi 1 minit 38 saat yang dipercayai dirakam dalam sebuah majlis yang diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah. – UTUSAN










