Perkeso salur RM11.7 juta kepada pekerja terkesan Covid-19 - Utusan Malaysia

Perkeso salur RM11.7 juta kepada pekerja terkesan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuat bayaran pampasan hampir RM11.7 juta kepada pekerja yang terkesan akibat jangkitan Covid-19 dengan jangkaan liabiliti keseluruhan melebihi RM131 juta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata,  nilai tanggungan itu dijangka terus meningkat seiring dengan peningkatan bilangan jangkitan dalam kalangan pekerja, sekiranya penularan wabak Covid-19 tidak dibendung dengan kadar segera.

Untuk itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Perkeso akan melaksanakan Program Ujian Saringan Covid-19 Fasa Pemulihan bagi membantu majikan yang ingin beroperasi semula untuk melakukan ujian saringan kepada pekerja ketika tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

“Golongan pekerja adalah antara yang paling terkesan akibat wabak ini dengan saban hari wujud kluster-kluster jangkitan Covid-19 di tempat kerja yang memberikan kesan langsung ke atas ekonomi, industri dan individu.

“Justeru, pendekatan ini diharapkan dapat mengurangkan beban majikan yang perlu menanggung kos klinikal bagi menjalankan ujian yang dikenakan oleh pihak klinik atau hospital sahaja,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, Perkeso akan membekalkan kit ujian saringan jenis Rapid Test Kit (RTK) Antigen kepada pihak majikan.

“Majikan pula bertanggungjawab untuk menyelaraskan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 secara profesional bersama klinik, hospital atau doktor yang terlatih, pilihan mereka sendiri. 

“Pada masa sama, majikan akan dibantu bagi menjalankan ujian ke atas pekerja mereka secara profesional, manakala pihak kerajaan dan KSM pula akan dapat memantau perjalanan ujian ini melalui pelaporan yang perlu dibuat dengan rapi,” jelasnya.

Tambahnya, maklumat lanjut akan dikongsikan melalui garis panduan dan soalan-soalan Lazim (FAQ) yang akan dimuat naik pada 6 September ini di laman web rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my dan Portal Program Saringan Prihatin di psp.perkeso.gov.my. 

“Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Careline Perkeso di 1300-22-8000 atau Hotline HSP dan PSP di 03-4264 5089 atau emel [email protected],” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN