ALOR SETAR: Seorang peniaga rugi RM80,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam di sini pada 24 September lalu.
Peniaga tersebut yang berusia 68 tahun itu sebelum itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memaklumkan kononnya mangsa mempunyai tunggakan hutang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, pada mulanya mangsa menafikan dakwaan tersebut namun panggilan tersebut disambungkan ke IPK Melaka dan bercakap dengan seorang pegawai polis.
“Kemudian panggilan itu disambungkan ke pihak Telekom Malaysia untuk menyakinkan mangsa bahawa itu talian dari IPK Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Elias berkata, selepas itu, panggilan tersebut disambungkan ke Bukit Aman untuk mendengar siaran radio berkaitan kad pengenalannya telah terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.
“Sindiket ini menakutkan mangsa dengan menyatakan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan diarah menyalurkan wang simpanannya kepada Bank Negara Malaysia sebagai tanda memberi kerjasama.
“Sekali lagi sindiket cuba menakutkan mangsa dengan membuat akuan sumpah secara virtual untuk menyimpan rahsia dan tidak boleh dedahkan kes ini kepada sesiapa termasuk ahli keluarga,” katanya.
Tambahnya, mangsa telah terpedaya dan membuat tiga kali transaksi yang keseluruhan berjumlah RM80,000 ke akaun yang ditetapkan sindiket.
“Mangsa kemudian menyedari ditipu apabila isterinya mengetahui dan bertanya kepada mangsa yang telah mendepositkan sejumlah wang di bank pada Isnin lalu.
“Mangsa telah datang ke Balai Polis Kota Setar pada hari yang sama untuk membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu),” jelasnya.
Katanya, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam terutama melalui panggilan telefon. – UTUSAN










