BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah heroin dalam serbuan di dua lokasi di negeri ini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan pukul 4 petang itu, lelaki yang tidak bekerja berusia 36 ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSN) Pulau Pinang di tepi Jalan Tun Hussein On, Seberang Jaya di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, bersama lelaki itu polis menemukan dua bungkusan heroin seberat 907 gram.
“Susulan tangkapan itu, olis menyerbu tapak parkir di sebuah kondominium di Golden Triangle di Relau, Bayan Lepas dan menjumpai lapan bungkusan dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta jenis Chevrolet.
“Keseluruhan rampasan di dua lokasi dianggarkan seberat 4.59 kilogram yang bernilai RM61,573,” kata beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.
Menurut beliau, lelaki itu dipercayai aktif mengedar dadah lima bulan lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 22,957 orang.
“Dadah ini dipercayai akan dipasarkan di pasaran tempatan dan hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methapetamine.
“Suspek mempunyai empat rekod berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya. – UTUSAN