Peneroka tertekan belum dibenarkan melombong bauksit - Utusan Malaysia

Peneroka tertekan belum dibenarkan melombong bauksit

PENDUDUK Felda Bukit Goh, Mohd. Shaiful Salim menunjukkan anak pokok kelapa sawit yang ditanam di tapak lombong bauksit di Kuantan, Pahang, semalam. – mingguan/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Peneroka Felda Bukit Goh di sini merayu kerajaan membenarkan mereka melombong bauksit kerana rata-rata mereka hidup dalam tekanan ekoran hilang punca pendapatan sejak kegiatan itu dihentikan pada 2017.

Semasa awal perlombongan bahan mineral berkenaan, tiada siapa pun menyangka mereka menerima ‘durian runtuh’ yang mana jumlahnya bermula puluhan ribu ringgit sehingga mencecah RM1 juta.

Pada ketika itu, kehidupan kira-kira 194 peneroka Felda Bukit Goh mewah, namun, ia hanya seketika selepas duit ha­sil perlombongan tersebut telah pun habis bagi menampung kehidupan mereka setelah tiada punca pendapatan bulanan ke­rana ladang kelapa sawit mereka habis ditebang untuk aktiviti berkenaan.

Selain itu, hidup peneroka terlibat turut dirundung malang apabila majoriti mereka tidak mampu membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dianggarkan yang rata-ratanya berjumlah antara RM100,000 hingga RM200,000.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penduduk Bukit Goh yang juga Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi (G2G), Jefri Salim berkata, rata-rata pe­neroka terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit sebelum ini mengalami tekanan hidup kerana hilang punca pendapatan dan perlu membayar cukai LHDN.

Katanya, dibimbangi jika kegiatan perlombongan bahan mineral berkenaan ditangguhkan terlalu lama, peneroka yang terlibat akan hilang kewarasan berfikir.

“Jika kita cakap soal tekanan hidup, memang semua peneroka (yang terlibat perlombongan bauksit) mengalami tekanan hidup. Cumanya ia belum ke tahap bertindak di luar jangkaan seperti membunuh diri.

“Tekanan emosi dialami ada juga menyebabkan peneroka terlihat menjadi kurang siuman, cakap seorang diri, berjalan seorang diri dan tidak ingat jalan pulang ke rumah,” katanya di sini semalam.

Kegiatan perlombongan bauksit, bijih mineral yang mempunyai aluminium hidroksida di Kuantan, terutamanya di Felda Bukit Goh, Balok dan Gebeng dipercayai bermula sejak pertengahan 2014.

Difahamkan setelah kira-kira empat tahun dihentikan, aktiviti perlombongan bahan mineral itu akan dimulakan kembali di negeri ini berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Pada Januari tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail mengesahkan aktiviti perlombongan bauksit boleh dimulakan pada bila-bila masa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×