PARIT BUNTAR: Penduduk Kampung Nibong Hangus, Kuala Kurau dekat sini gempar dengan kehadiran seekor buaya yang masuk ke kawasan kampung itu, semalam.
Kejadian itu disedari penduduk kira-kira pukul 6.30 pagi dan reptilia tersebut dipercayai naik ke darat dari sebuah terusan air berdekatan.
Penduduk kemudian memaklumkannya kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.
Jurucakap Perhilitan Perak berkata, berikutan itu satu pasukan ke lokasi namun tidak menemukan reptilia itu.
“Berkemungkinan reptilia itu kembali semula ke Sungai Kura.
“Hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan paras air sungai naik, dipercayai punca reptilia itu naik dari terusan ke kampung berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya telah meletakkan papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kehadiran reptilia itu.
Katanya, orang ramai diminta menghubungi Perhilitan dan tidak mengambil tindakan sendiri jika terserempak dengan reptilia itu. – UTUSAN ONLINE