SUNGAI PETANI: Cubaan seorang lelaki disyaki penagih dadah melarikan diri daripada polis gagal apabila diberkas di Taman Ria, di sini hari ini.
Suspek berusia 39 tahun yang memandu kereta jenis Perodua MyVi itu ditahan selepas dikejar unit kereta peronda polis (MPV) sejauh tiga kilometer (km) kira-kira pukul 2.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di Taman Ria.
Katanya, suspek bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota polis dan terus memecut ke kawasan perumahan tersebut.
“Suspek kemudian dipintas anggota polis di hadapan sebuah masjid dan hasil pemeriksaan menemukan sejumlah dadah jenis ganja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek yang didapati positif ganja disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 akta sama kerana memiliki dadah.
Sementara itu, klip video berdurasi 14 saat yang memaparkan aksi MPV polis mengejar kereta suspek di sekitar taman berkenaan tular di laman sosial sejak pagi semalam. – UTUSAN ONLINE










