Orang Islam miskin di Perak bertambah - Utusan Malaysia

Orang Islam miskin di Perak bertambah

SHAHRUL AZAM SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Semakin ramai orang Islam di Perak khususnya di bandar raya ini menjadi miskin kesan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, setakat ini Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengagihkan RM17.82 juta dalam bentuk bantuan kecemasan seja 1 Januari tahun lalu shingga Jun tahun ini.

Menurut beliau, ia melibatkan bantuan berjumlah RM9.34 juta untuk 30,365 orang sepanjang tahun lalu serta RM8.48 juta (33,756 orang) bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Jumlah itu meningkat tujuh kali ganda berbanding pengagihan RM1.26 juta (10,271 orang) pada 2019 dan RM1.31 juta (18,280 orang) pada 2018.

“Bantuan diberikan dalam bentuk wang tunai iaitu RM400 secara ‘one-off’ bagi mereka yang terkesan akibat Covid-19 serta kotak makanan melalui kerjasama pihak pengurusan masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Shahrul Azam memberitahu, kawasan paling banyak menerima bantuan adalah Bandaraya Ipoh, namun daerah lain juga berlaku peningkatan akibat ramai hilang punca pendapatan menyebabkan mereka memerlukan dana zakat bagi membantu dan menampung keperluan asas mereka.

“Sekarang, ramai sudah jadi miskin bandar termasuk di Ipoh, permohonan bantuan juga semakin bertambah, kita tidak mahu mereka terjerumus menjadi miskin tegar,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.

Kata beliau, bantuan kecemasan segera diperuntukkan di bawah Asnaf Fakir dan Miskin dan bagi individu yang terjejas akibat Covid-19 termasuk hilang punca pendapatan juga tiada halangan untuk memohon dan akan dipertimbangkan jika tergolong dalam golongan asnaf tersebut.

Jelasnya, bagaimanapun, bagi kes-kes tertentu, MAIPk mempertimbangkan untuk pemberian bantuan itu melalui keperluan isi rumah tertakluk had kifayah serta kelulusan Jawatankuasa Baitulmal.

“Had kelayakan untuk bantuan Baitulmal MAIPk adalah berdasarkan keperluan hukum agama, dan cara pengiraan had kelayakan itu adalah berbeza dengan kaedah digunakan oleh kerajaan dalam membantu golongan miskin,” katanya.

Menurutnya, dalam dua tahun berturut-turut ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan sebahagian duit zakat digunakan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan akibat pandemik Covid-19 termasuk petugas barisan hadapan serta mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan.

Sementara itu, Shahrul Azam mengakui ada kalanya berlaku kes ‘terlepas pandang’ apabila ada mereka yang sepatutnya menerima bantuan tetapi tidak menerimanya lantas menjadi tular sehingga pihak pemberi bantuan termasuk Baitulmal dikecam dalam media sosial.

Beliau berkata, namun pihaknya ada mekanisme menanganinya menerusi mesyuarat penyelarasan di peringkat daerah untuk menyemak semua permohonan yang baharu dan terlepas pandang untuk diproses dan diberikan bantuan ikut kemampuan kutipan zakat.

“Mesyuarat diadakan setiap bulan yang dipengerusikan Orang Besar Jajahan (OBJ) dan Pegawai Daerah manakala Pegawai Baitulmal menjadi urusetia mesyuarat, dan dihadiri Penghulu Mukim dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jadi, mana-mana permohonan yang tidak dapat bantuan kita semak, sebab kita tidak mahu ada permohonan bertindih (dengan JKM), kita risau nanti ada yang dapat kedua-dua bantuan JKM dan MAIPk, ini pun orang ramai marah mengatakan kenapa orang yang sama dapat bantuan (sedangkan) ada yang langsung tidak dapat,” jelasnya.

Beliau berkata, dua golongan yang ditanggung MAIPk sehingga akhir hayat mereka ialah golongan miskin yang tidak produktif seperti warga emas yang tiada anak atau ditinggalkan anak serta pesakit buah pinggang.

“Dua golongan itu sentiasa didahulukan dalam pengagihan zakat kerana mereka hanya bergantung kepada bantuan Baitulmal untuk kelangsungan hidup,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN