MERSING: Dua ekor gajah betina, ‘Limah’ dan ‘Liah’ yang menimbulkan masalah di kebun sawit sehingga menyebabkan peneroka di Felda Tenggaroh, di sini menanggung kerugian akhirnya dipindahkan ke Taman Negara Endau Rompin.
Operasi pemindahan bermula pukul 9 pagi sebelum berakhir pada 1 tengah hari semalam dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dibantu dua ekor gajah denak dari Pahang iaitu ‘Alam’ dan ‘Kasturi’.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, kedua-dua ekor gajah itu ditangkap Selasa lalu susulan aduan penduduk.
Katanya, haiwan liar terbabit dianggarkan berumur 25 dan 15 tahun yang dipercayai daripada populasi kumpulan ID Jemaluang yang terdapat kira-kira 40 ekor kesemuanya.
“Dua ekor haiwan ini dipercayai tersesat di Felda Tenggaroh dan kita terpaksa pindahkan. Kumpulan gajah itu dipasang ‘kolar’ yang kita akan halau sekiranya mendekati kawasan kampung.
“Proses pemindahan kali ini mengambil masa meskipun gajah telah ditangkap pada Selasa lalu memandangkan gajah denak perlu berehat sehari sebelum proses pemindahan dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Pengarah Wilayah Felda Plantation Management Wilayah Johor Bahru, John Asrol Mohamad berkata, serangan gajah di kebun-kebun kelapa sawit mengakibatkan ramai peneroka kehilangan sumber pendapatan.
Justeru, pihaknya menyambut baik usaha Perhilitan memindahkan gajah-gajah terbabit demi kelangsungan warga peneroka dan ia merupakan tangkapan kali ketiga bagi tahun ini melibatkan kawasan Felda.
“Setakat ini kerugian dialami peneroka amat tinggi, tambahan pula harga sawit sekarang tinggi dengan kadar RM1,000 bagi satu tan jadi peneroka sepatutnya mendapat pendapatan yang baik.
“Namun bagi yang terjejas ekoran pokok sawit rosak mereka tidak dapat menikmati pulangan sebegitu, kita yakin setelah gajah-gajah ini ditangkap akan mengurangkan kerosakan tanaman di kawasan ladang peneroka,” katanya. – UTUSAN










