PUTRAJAYA : Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk menggantung lesen pengendali lori yang terlibat dalam kemalangan dengan lima kenderaan lain di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 September lalu.
Menterinya Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tempoh penggantungan adalah selama tiga bulan atau sehingga syarikat itu memenuhi keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) yang ditetapkan.
“Tindakan itu diambil selepas mengambil kira kepentingan awam dan berdasarkan laporan siasatan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ia juga selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715) dimana syarikat gagal melaksanakan ICOP tanpa sebab yang munasabah,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Ka Siong berkata, kegagalan melaksanakan ICOP adalah satu pelanggaran serius terhadap syarat lesen serta melibatkan risiko keselamatan kepada pemandu, pengguna jalan raya dan juga orang awam.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu berkaitan keselamatan kenderaan pengangkutan awam dan tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan berkaitan pematuhan permit dan lesen oleh pengendali.
“Semoga tindakan ini dapat memberi pengajaran kepada pengendali terlibat serta peringatan kepada keseluruhan industri pengangkutan awam dan perdagangan secara amnya,” katanya.
Dalam kejadian kemalangan itu, pemandu lori itu dikatakan memandu dalam pengaruh dadah menyebabkan seorang cedera di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh.
Lori terbabit gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima buah kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat. – UTUSAN










