Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sedia kerjasama pulihara HSKLU  - Utusan Malaysia

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sedia kerjasama pulihara HSKLU 

ORANG Asli suku Temuan di Kampung Busut Baru menjadikan Hutan Simpan Kuala Langat Utara tempat mencari rezeki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)  mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains membantu kerajaan negeri Selangor  memulihara Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sedia berbuat demikian bagi memastikan ekosistem sentiasa terpelihara dan mencegah kebakaran di hutan paya gambut itu. 

Menurutnya, KeTSA menyambut baik keputusan kerajaan negeri Selangor menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan HSKLU seluas 536.7 hektar yang dinyahwartakan baru-baru ini dan selebihnya akan memulakan proses pewartaan semula sebahagian besar kawasan terbabit sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). 

“KeTSA juga menyambut baik keputusan kerajaan negeri Selangor untuk mengekalkan status kawasan gantian seluas 579.64 hektar yang diwartakan sebagai HSK iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang, Hutan Simpan Buloh Telor Barat, Hutan Simpan Buloh Telor Timur dan Hutan Simpan Broga. 

“Ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari pada 8 September yang memutuskan untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas HSKLU dan membatalkan pemberimilikan tanah kepada syarikat terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, KeTSA juga mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak komuniti setempat untuk memulihkan hutan simpan ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya