ALOR SETAR: Pembukaan semula Langkawi pada 16 September ini diharap dapat menamatkan kelesuan sektor pelancongan di pulau itu hampir dua tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, kerajaan negeri menyambut baik pembukaan semula Langkawi sebagai projek rintis program Gelembung Pelancongan pasca Covid-19.
“Kerajaan negeri bersama agensi berkaitan serta pemain industri tempatan sudah lama bersedia bagi hasrat ini.
“Setakat Ogos, penduduk Pulau Langkawi mencapai kadar vaksinasi 89.2 peratus bagi dos pertama dan 82.3 peratus bagi dos kedua sekali gus pulau peranginan tersebut sudah mencapai imunasi kelompok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program ‘travel bubble’ berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.
Sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September ini.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, lokasi pelancongan lain di Kedah masih bertungkus-lumus mencapai kadar vaksinasi 80 peratus bagi membolehkan lokasi itu menyambut tetamu.
“Kedah berharap lokasi pelancongan di negeri lain juga mendapat kebenaran untuk dibuka supaya setiap pemain industri mendapat manfaat dan saling bekerjasama mempromosi produk pelancongan antara negeri,” ujarnya.
Menurut beliau, pengusaha pelancongan di Pulau Langkawi perlu memastikan pelancong yang hadir mendapat dua dos vaksin, mendaftar masuk di aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial.
“Kita mengambil iktibar lokasi pelancongan di Phuket dan Bali yang terlebih dahulu dibuka dan ditutup semula susulan penularan kes jangkitan baharu membabitkan varian Delta,” katanya.- UTUSAN