LARUT: Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran jentera berat di Sungai Malau di sini awal pagi ini berpunca daripada perbuatan khianat.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Mohd. Sabri Saat berkata, polis telah menerima laporan mengenai kebakaran itu yang dibuat oleh pemilik jentera itu hari ini.
Menurutnya, dalam laporan itu, pengadu mendakwa mengalami kerugian RM200,000 apabila jentera pemasak tar dan penggelek jalan miliknya musnah terbakar.
“Siasatan mendapati jentera yang diletakkan di tepi jalan itu telah terbakar dan pihak polis yang menjalankan siasatan awal tidak menolak kemungkinan berlakunya unsur khianat.
“Bagaimanapun siasatan menyeluruh masih dijalankan dan pihak polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar bekerjasama dengan pihak polis,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.52 pagi.
Menurutnya, kedua-dua jentera berat itu terbakar 40 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 3 pagi.
“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini dan siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN










