PETALING JAYA: Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara diserbu orang ramai yang mahu menyelesaikan segala urusan tertangguh berikutan pembukaan semula kaunter-kaunter secara walk-in mulai semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai mula beratur untuk memasuki bangunan JPJ seawal pukul 8 pagi walaupun kaunter hanya dibuka satu jam kemudian.
Walaupun hari pertama menimbulkan sedikit kesesakan, namun urusan yang dibuat secara bersemuka di kaunter dan pandu lalu berjalan lancar dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikawal oleh anggota JPJ.
Seorang pelanggan, Raudhah Ghazali, 25, berkata, dia berasa lega dapat memperbaharui lesen memandunya selepas menghadapi kesukaran berbuat demikian sebelum ini.
“Saya tiba di bangunan JPJ Wilayah Persekutuan di sini pada pukul 8 pagi untuk mendapatkan giliran di depan. Saya berasa lega kerana dapat berbuat demikian (memperbaharui lesen) setelah menghadapi kesukaran sebelum ini.
“Semasa urusan JPJ secara dalam talian, saya menghadapi masalah teknikal seperti tidak dapat slot janji temu dan urusan yang mengambil masa lama.
“Saya lega apabila kaunter JPJ dapat dibuka semula, sekali gus dapat memudahkan segala urusan saya yang tertangguh,” katanya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebelum ini mengumumkan, orang ramai dibenarkan memperbaharui lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) secara walk in bermula semalam tanpa perlu melalui sistem tempahan.
Beliau berkata, pelanggan yang ingin berurusan di kaunter JPJ perlu menerima vaksinasi lengkap dan menunjukkan status Risiko Rendah Covid-19 pada aplikasi MySejahtera.
Keputusan secara walk in dibuat selepas mengambil kira rungutan orang ramai yang disiarkan dalam Utusan Malaysia berhubung kesukaran mereka mendapatkan slot temu janji untuk memperbaharui LKM dan LLM di samping terpaksa melalui tempoh menunggu yang agak panjang.
JPJ sebelum ini menetapkan tarikh akhir memperbaharui lesen yang tamat tempoh sebelum 31 September ini dan akan mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal berbuat demikian mulai 1 Oktober.
Dalam pada itu, Wee Ka Siong turut membuat tinjauan di JPJ WPKL sekitar pukul 10 pagi.
Beliau turut menerima cadangan orang ramai agar kaunter bergerak JPJ ditambah kerana tindakan itu dilihat lebih memudahkan orang ramai melakukan urusan secara pandu lalu.
Katanya, cadangan itu juga membolehkan orang ramai yang belum lengkap divaksinasi untuk meneruskan urusan mereka berbanding jika berurusan di kaunter yang diwajibkan lengkap vaksinasi.
Sementara itu, seorang lagi pelanggan, Mohd. Afizal, 21, berkata, dia ke kaunter JPJ untuk memperbaharui cukai jalan yang tamat tempoh sejak tiga bulan lalu.
“Sebelum ni memang susah untuk mendapat slot janji temu, sampai sudah tertangguh tiga bulan.
“Jadi, apabila kaunter JPJ dah dibuka semula kepada orang ramai secara walk in, memang memudahkan semua urusan saya,” jelasnya.
Di PULAU PINANG, orang ramai turut menyerbu pejabat JPJ Batu Uban di Georgetown untuk menyelesaikan pelbagai urusan secara bersemuka di kaunter.
Barisan panjang orang ramai yang beratur di luar bangunan JPJ itu dapat dilihat sejak awal pagi iaitu sebaik sahaja operasi bermula sehinggalah ke sebelah petang dengan ada yang perlu menunggu giliran hampir satu jam.
Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Ishak, 40-an, berkata, dia terpaksa beratur lebih setengah jam untuk mendapatkan giliran bagi urusan menukar hak milik kenderaan.
“Urusan ini sudah lama tertangguh dan saya sebelum ini pernah mencuba untuk membuat janji temu tetapi sentiasa penuh. Jadi apabila sudah diberi kebenaran walk in hari ini, saya tidak melepaskan peluang apatah lagi saya juga sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya.
Di TERENGGANU, Pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin berkata, setakat pukul 3 petang semalam, seramai 321 orang selesai menjalankan urusan di kaunter secara walk in dengan enam lagi masih menunggu.
Bagaimanapun, katanya, keadaan adalah terkawal kerana jumlah pelanggan dihadkan kepada 50 orang dalam satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan. – UTUSAN










