KULAI: Orang ramai khususnya yang terdesak memerlukan wang diingatkan tidak terpedaya dengan tawaran pinjaman mudah dan pantas ditawarkan di laman media sosial.
Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Malaysia, Chua Jian Boon berkata, ini kerana kebanyakan tawaran pinjaman yang dibuat secara sedemikian adalah ‘scammer’.
“Semalam saya terima aduan daripada seorang pengadu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang mengatakan dia meminjam wang sebanyak SGD30,000 atau kira-kira RM92,000 dengan memberikan butiran kediaman di negeri ini.
“Selepas membuat permohonan itu dan perlu membayar wang sebanyak SGD7,500 (RM22,500), dia masih gagal mendapatkan wang yang mahu dipinjamnya.
“Sebaliknya, dia diugut ‘scammer’ untuk memasukkan lagi wang ke dalam akaun pihak berkenaan atau tidak mereka akan bertindak membaling cat di kediaman mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut beliau, ekoran itu kediaman mangsa yang didaami ibunya yang berusia 62 tahun disimbah cat berwarna merah.
“Selain itu turut ditinggalkan satu nota memaklumkan sekiranya mangsa tidak terus membuat pembayaran, mereka akan membaling bom petrol,” kata beliau.
Sehubungan itu, kata Jian Boon, mangsa telah buat laporan polis di Malaysia dan Singapura.
“Saya berharap polis Johor mengambil tindakan segera berhubung jenayah penipuan ini yang mana saya percaya jika dibiarkan lebih ramai pihak akan menjadi mangsa,” jelasnya.- UTUSAN