JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan anak-anak dilahirkan warganegara Malaysia di luar negara untuk diberikan kewarganegaraan secara automatik tanpa mengira dia ibu atau bapa kepada anak berkenaan.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.
“Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara perlu alami diskriminasi? Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.
“Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka. Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza,” soal baginda dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan anak-anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kewarganegaraan Malaysia.
Kerajaan Persekutuan kemudian dilaporkan telah memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.
Sementara itu, Sultan Ibrahim juga menyatakan kerajaan tidak wajar menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak, lebih-lebih lagi apabila Malaysia kini berdepan masalah serius kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.
“Inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka, bukannya menolak dan menghalau mereka. Dasar seperti ini adalah tidak betul,” titah baginda.
Titah Sultan Ibrahim lagi, dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Peguam Negara harus segera menarik balik rayuan ke atas keputusan mahkamah itu. – UTUSAN ONLINE