SEREMBAN: Seorang isteri kepada anggota polis di Kuala Pilah mengalami kerugian sebanyak RM20,800 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian pada 4 September lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa berusia 32 tahun telah menerima pesanan ringkas menerusi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali kira-kira pukul 8 malam bagi melakukan kerja dalam talian dan akan mendapat bayaran.
Menurutnya, keesokan harinya, mangsa telah membuat kerja seperti yang diarahkan pengirim WhatsApp berkenaan dari pagi hingga ke malam dan menerima bayaran sebanyak RM230.
“Seterusnya, pada 6 September lalu, pengirim yang sama telah memperkenalkan satu pelaburan bernama IBC Trader dan mangsa telah diperdaya sehingga terdorong untuk melakukan pembayaran duit.
“Mangsa telah melakukan pemindahan secara dalam talian sebanyak tujuh kali menggunakan akaun mangsa ke atas akaun CIMB 7637110028 di atas nama Muhamad Saiful Suhaimi dengan jumlah pemindahan wang sebanyak RM20,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aibee berkata, mangsa dijanjikan akan dibayar dengan keuntungan yang banyak.
Menurutnya, mangsa cuba menghubungi pengirim WhatsApp berkenaan untuk meminta kembali duit yang dipindahkan, namun suspek telah menyekat panggilan mangsa.
“Mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan semalam di Balai Polis Melang, Kuala Pilah bagi tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










