PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan purata harga ayam nasional yang dicapai ketika ini, iaitu sekitar RM8.79 sekilogram.
Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, harga purata itu diperoleh berdasarkan pemeriksaan dilakukan di 600 premis di seluruh negara, semalam.
Beliau berkata, harga itu lebih baik berbanding sekitar RM11 hingga RM11.50 yang direkodkan dua minggu lalu.
“Daripada pemeriksaan itu, 11 premis dikesan masih menjual pada harga RM10 ke atas, 147 premis (RM9.50 ke atas);, 339 premis (RM9.50 ke bawah) dan 103 premis (RM8 ke bawah).
“Ini menunjukkan trend penurunan harga lebih baik berbanding minggu sebelumnya,” katanya ketika ditemui pada Op Samar membabitkan beberapa buah kedai makan dan restoran di sini, malam tadi.
Katanya, penurunan harga itu adalah hasil usaha berterusan pasukan penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara termasuk kerjasama rapat antara penternak, pemborong dan peruncit.
Azman berkata, pihaknya terus melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga ayam kekal stabil.
Pada masa sama, katanya, aduan mengenai harga ayam diterimanya semakin menurun sejak kebelakangan ini berbanding sekitar 30 aduan dua minggu lalu. – UTUSAN ONLINE