GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan 37 Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan (NPMB) dan 12 Notis Bertulis (NB) kepada penternak, pemborong dan peniaga ayam susulan kenaikan harga ayam di negeri itu.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, para peniaga diberikan tempoh lima hari bagi notis NB dan dua hari bagi notis NPMB untuk membekalkan maklumat kenaikan harga ayam untuk dianalisis.
Katanya, analisis itu dijalankan bagi mengenal pasti punca kenaikan harga yang berlaku bagi memastikan tiada kenaikan harga bagi mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah.
“Kita telah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk mengenal pasti punca kenaikan harga ayam di sekitar pasar awam di negeri ini.
“Pemeriksaan dan pemantauan dijalankan ke atas rantaian pembekalan ayam yang melibatkan penternak, pemborong dan peniaga di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati cuba mendapatkan keuntungan yang tidak munasabah dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Selain itu, PPDNHEP Pulau Pinang mengadakan satu sesi libat urus bersama penternak, pemborong dan peniaga bagi membantu menstabilkan harga ayam di peringkat rantaian pembekalan serta di pasar awam.
“Hasil perbincangan di semua peringkat yang terlibat, harga ayam di seluruh negeri telah menunjukkan penurunan harga selaras dengan komitmen kementerian dan penternak serta pemborong supaya peruncit boleh menjual ayam pada harga RM9.50 sekilo di pasar awam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Ridzuan berkata, Seksyen Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang juga telah menjalankan penguatkuasaan pematuhan kepada harga maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) di peringkat borong pada harga RM16 manakala di peringkat runcit RM19.90.
“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas 222 premis perniagaan di seluruh negeri bagi memantau pematuhan harga maksimum oleh pemborong dan peruncit sejak 5 September lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, ada peniaga runcit di sekitar Seberang Jaya mampu menawarkan Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (Ujian Sendiri) pada harga RM16.50 sekotak.
“PPDNHEP Pulau Pinang menasihatkan peniaga supaya berhemah serta beretika dalam perniagaan untuk menangani isu harga ayam serta mematuhi harga maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE