PUTRAJAYA: Hala tuju Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah selaras dengan Dasar Sains, Teknologi Dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 bagi mewujudkan sebuah negara maju berteknologi tinggi seterusnya menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi dan pertumbuhan inklusif.
Perkara itu disuarakan Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang menegaskan, ia adalah inisiatif 100 hari pertamanya sebagai menteri seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob yang mahu setiap kementerian membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari pertama, 10 Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Katanya, dalam tempoh 100 hari pertama perkhidmatan, beliau berganding bahu bersama-sama warga kerja MOSTI menggembleng segala usaha dan daya serta bekerja bersama rakyat ke arah mencapai 10 KPI MOSTI menerusi sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam usaha memacu ekonomi negaradan memperkasa sosioekonomi rakyat.
Katanya, tumpuan segera MOSTI diberikan kepada penghasilan vaksin tempatan, pembangunan teknologi disruptif dan baharu muncul, peluasan ekosistem perniagaan permulaan (startup), pembangunan dan penyelidikan (R&D), serta pembudayaan STI secara bersepadu dan berterusan.
“Menyedari kesan pandemik Covid-19 kepada sosioekonomi negara, agenda STI memainkan peranan penting dalam mengarusperdanakan ekonomi inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia. MOSTI juga memberi tumpuan kepada bantuan berbentuk dana pembiayaan bagi memacu ekonomi berlandaskan teknologi bagi sektor-sektor produktif seperti keusahawanan, kesihatan, pembuatan dan pertanian.
“Usaha ‘Whole of Government Approach’ ini akan menyediakan ekosistem yang kondusif bagi merintis dan menginspirasi penghayatan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM terutama dalam kalangan anak muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adham berkata, 10 KPI berimpak tinggi 100 hari pertama sebagai menteri adalah berlandaskan empat strategi tumpuan yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat manakala teras KPI dijadikan panduan bagi saya untuk mengukur keberhasilan pelaksanaan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, strategi tumpuan pertamanya adalah usaha mengawal pandemik Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang telah diteruskan dengan usaha vaksinasi di seluruh negara dipercepatkan.
Katanya, Malaysia kini mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa negara lengkap divaksinasi semalam, iaitu lebih awal daripada sasaran asal.
“Selain itu, dalam usaha memastikan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa hadapan, MOSTI juga akan memantapkan ekosistem pembangunan vaksin negara bagi membangunkan vaksin keluaran tempatan.
“Ketika ini, vaksin denggi, kolera dan leptospirosis telah memasuki ujian pra-klinikal manakala vaksin COVID-19 telah memasuki peringkat penyelidikan. Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (NVDR) dijangka diumumkan pada bulan November 2021,” katanya. – UTUSAN ONLINE