Fokus pelajaran dahulu, elak politik melampau - Utusan Malaysia

Fokus pelajaran dahulu, elak politik melampau

TOKOH akademik berpendapat pelajar universiti perlu memberi tumpuan kepada pengajian terlebih dahulu tetapi menerapkan program-program pemahaman tentang politik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penglibatan mahasiswa dalam politik cukup setakat pendedahan terhadap ilmu-ilmu kepolitikan dan demokrasi sebagai persiapan menjadi pemimpin selepas menamatkan pengajian.

Membuka ruang kepada mereka bergiat aktif pada masa sekarang dibimbangi hanya me­rosakkan masa hadapan jika terbawa-bawa dengan fahaman politik yang melampau.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan undang-undang serupa di peringkat universiti sebagai penyelarasan pelaksanaan undi 18 tahun adalah baik.

“Namun, saya lebih mengga­lakkan mahasiswa fokus kepada pelajaran.

“Bukan bertujuan mengekang penglibatan mereka dalam bi­dang ini tetapi sewajarnya menjadi saluran sahaja untuk mereka menceburi politik. Jadi kita susun program atau kursus berbentuk apa itu politik dan demokrasi dan ciri kepimpinan.

“Saya tidak boleh bayangkan jika di mana-mana universiti mempunyai pejabat rasmi parti-parti politik kerana dikhuatiri ini akan menjadi ‘markas’ mereka bergaduh sesama sendiri untuk kepentingan politik masing-masing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan akh­bar ini memetik peguam sebagai berkata, undang-undang universiti termasuk AUKU yang didakwa mengekang mahasiswa perlu dipinda sebagi menyahut tuntutan kepada pelaksanaan undi 18 tahun Disember ini.

UiTM antara universiti awam yang melaksanakan undang-undang sendiri bagi menghalang mahasiswa berpolitik selaras di dalam fasal 23(1)(f) Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) yang memperuntukan tiada seorang pelajar boleh menjadi anggota atau bersekutu dengan persatuan, parti politik atau kesatuan sekerja sama ada di dalam dan luar universiti.

Dalam pada itu, bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berpendapat, mahasiswa mudah terpengaruh, ‘dibeli’ dan digunakan ahli politik terutama dalam memenangi pilihan raya jika penglibatan mereka dalam politik di universiti lebih terbuka.

Katanya, pindaan terhadap AUKU dan Akta UiTM akan memberi implikasi terhadap sistem universiti sebagai pusat ilmu yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik dan pihak berkepentingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×