Adzami rayu Perkeso lulus pencen ilat  - Utusan Malaysia

Adzami rayu Perkeso lulus pencen ilat 

MOHD. Adzami Abu menunjukkan kaki palsu yang digunakannya selepas kaki kanannya terpaksa dipotong akibat alahan kulit di Kampung Batas Bujur, Sungai Limau, Yan hari ini. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Seorang pekerja di sebuah kedai barangan elektrik yang kudung kaki kanan gusar dengan masa depan keluarganya jika pemohonan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum ini gagal.

 

Mohd. Adzami Abu, 41, dari Kampung Buloh Lama Dalam, Kota Sarang Semut di sini berkata, dia mengharapkan permohonannya itu mendapat kelulusan Perkeso selepas tidak dapat menyara keluarga sejak tahun 2018.

 

Menurutnya, pada masa ini, dia terpaksa berjimat cermat menyara isterinya hasil bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan selepas kaki kanannya dipotong dari paras bawah lutut dan tidak dapat bekerja.

 

Katanya, dia mengharapkan permohonan pencen ilat untuk menyara isterinya, Fauziah Abu, 54, walaupun masih tidak mempunyai anak.

 

“Saya mula mengalami alahan kulit di bahagian kaki kanan selepas pulang dari mengerjakan sawah padi milik keluarga sekitar tahun 2018 lalu.

 

“Selepas beberapa kali mendapat rawatan di hospital kerajaan, kaki kanan saya hingga bawah lutut terpaksa dipotong menyebabkan saya menggunakan kaki palsu untuk bergerak,” katanya ketika ditemui Kampung Buloh Lama Dalam, Kota Sarang Semut di sini hari ini.  

 

Mohd. Adzami memberitahu, dia yang bekerja di kedai tersebut selama empat tahun kemudian terpaksa berhenti kerja dan mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Air Keroh, Melaka serta dibekalkan dengan kaki palsu oleh Perkeso.

 

“Majikan saya juga tidak pernah gagal mencarum kepada Perkeso setiap bulan sepanjang bekerja di kedai berkenaan selama empat tahun,” ujarnya.

 

Tambahnya, Pusat Rehabilitasi Perkeso di Melaka yang mengurus dokumen permohonan pencen ilatnya juga masih gagal memberikan jawapan berkaitan status sebenar kelayakannya di bawah kategori itu.

 

Sehubungan itu, katanya, dia merayu pihak berkenaan membantunya mempercepatkan proses permohonan pencen ilatnya bagi membolehkan dia mempunyai pendapatan selepas lama menunggu. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN