PETALING JAYA: Sembilan remaja yang terperangkap ekoran kejadian kepala air di kawasan batu di Sungai Kedondong, Kuala Kubu Bharu, dekat sini, malam tadi diselamatkan pasukan bomba.
Kesemua mangsa yang berusia 16 tahun hingga 20 tahun itu terperangkap di sungai berkenaan akibat arus deras.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.55 malam.
“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba, kita mendapati dua daripada sembilan lelaki terbabit dapat melepasi sungai berkenaan manakala tujuh lagi rakannya terperangkap,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Norazam berkata, pihaknya menyelamatkan kesemua mangsa dan dibawa ke tempat selamat. – UTUSAN ONLINE










