KOTA KINABALU: Seramai 40 orang mangsa banjir kilat di dua daerah di Sabah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 4 petang ini.
Hujan lebat sejak tengah malam tadi mengakibatkan lima daerah dilanda banjir kilat termasuk Sipitang dan Kota Belud yang mula menempatkan mangsa di PPS. Tiga daerah lain ialah Kota Kinabalu, Penampang dan Beaufort.
Angkatan Pertahanan Awam memaklumkan, setakat ini 22 mangsa daripada sembilan keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Muhibah Kampung Tombol, Kota Belud dan 18 orang daripada enam keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol, Sipitang.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Dunstan Peter berkata, kejadian tanah runtuh berulang sekali lagi di Apartmen Country Heights dekat sini.
“Pasukan bomba juga mengarahkan pihak pengurusan untuk melantik kontraktor bagi mengalihkan tanah runtuh dan membuat laluan air sementara bagi mengelakkan kejadian lebih teruk.
“Tiada insiden bahaya mahu pun mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh ini,” katanya.
Pasukan bomba turut terlibat dalam proses pemindahan 15 orang mangsa termasuk dua bayi yang terperangkap akibat banjir di University Condo Apartment (UCA) Manggatal ke kawasan yang lebih selamat.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa terperangkap banjir itu pada pukul 10.48 pagi tadi.
Salah seorang mangsa, Zamree Zainal, 27, mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan menerima rawatan awal oleh Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan dan Perubatan Kecemasan (EMRS). Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.- UTUSAN ONLINE