GEORGETOWN: Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyokong pendirian dibuat Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pendirian itu adalah hasil daripada keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan pada 3 Ogos lalu.
Sehubungan itu, menurut beliau, UMNO Pulau Pinang turut meminta dan menyeru kepada semua pemimpin dan ahli parti di semua peringkat bukan hanya menyokong malah perlu akur dengan keputusan tersebut.
Kata beliau, ini kerana keputusan itu adalah ketetapan yang jelas dan sejajar dengan keputusan yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Mac lalu.
“Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang meminta semua kepimpinan parti terus bersama-sama kembali bersatu hati dengan mengutamakan matlamat perjuangan parti daripada kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zahid selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO yang berlangsung secara maya pada 3 Ogos lalu memaklumkan MT UMNO sepakat menarik sokongan kepada PN dan Muhyiddin.
Justeru, kata Ahmad Zahid, beliau akan mempersembahkan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN.
Bagaimanapun, Muhyiddin dalam sidang akhbar semalam menjelaskan kedudukannya sebagai PM masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Beliau turut memaklumkan akan membentangkan usul undi percaya menjelang sidang Dewan Rakyat September ini bagi menentukan keabsahan sebagai PM. – UTUSAN










