UMNO Perlis teguh bersama Zahid, sokong penarikan sokongan terhadap kerajaan PN - Utusan Malaysia

UMNO Perlis teguh bersama Zahid, sokong penarikan sokongan terhadap kerajaan PN

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Perlis menjadi badan perhubungan UMNO negeri terbaharu yang menyatakan sokongan penuh terhadap ketetapan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu enam badan perhubungan UMNO negeri iaitu masing-masing dari Perak, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu telah menyatakan sokongan sama.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, keputusan itu selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Mac lalu.

Kata Menteri Besar itu, keputusan itu juga selari dengan asas dan tujuan penubuhan UMNO sebagaimana digariskan dalam fasal 3.3 Perlembagaan parti itu untuk mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia membela kepentingan raja-raja Melayu.

“Badan Perhubungan UMNO negeri bersetuju dan menyokong penuh ketetapan yang telah dimuktamadkan dalam mesyuarat MT UMNO pada 3 Ogos 2021 berhubung penarikan balik sokongan kepada kerajaan PN yang diterajui oleh Muhyiddin.

“Keputusan ini dibuat demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang juga merupakan salah satu intipati utama yang terkandung di dalam Perlembagaan UMNO,” katanya di sini hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO yang berlangsung secara maya pada 3 Ogos lalu memaklumkan MT UMNO  sepakat menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin. 

Kata Ahmad Zahid, beliau akan mempersembahkan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada  Muhyiddin dan kerajaan PN. 

Berdasarkan kedudukan terkini kerusi Parlimen PN masih ada 103 kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (31), serpihan UMNO (26), Pas dan Gabungan Parti  Sarawak (GPS) masing-masing 18,  bebas (empat), MCA (dua) manakala  Star, Parti Bersatu Sabah (PBS), MIC  dan  Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) masing-masing satu kerusi.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam satu perutusan khas semalam memaklumkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri bakal ditentukan dalam usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN