RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM1.22 juta sepanjang penugasan Op Benteng Covid-19 sempadan Malaysia-Thailand, sejak 16 Ogos lalu.
Dalam penugasan kali ini, Batalion 8 PGA mengakui trend menyeludup masuk haiwan peliharaan dan eksotik semakin meningkat dengan pihaknya sendiri sudah menggagalkan dua cubaan menyeludup masuk haiwan terbabit dengan nilai rampasan RM81,000.
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, permintaan tinggi terhadap haiwan eksotik dan peliharaan antara faktor mendorong kegiatan tersebut dilakukan penyeludup.
“Pada 18 Ogos lalu, Batalion 8 PGA mematahkan cubaan menyeludup masuk sembilan ekor anak anjing jenis Bulldog dengan nilai keseluruhan RM61,000.
“Dua hari sebelumnya iaitu pada 16 Ogos, kita berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk seekor kuda bernilai RM20,000” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal Lubok Stol, di sini hari ini.
Terdahulu pada 13 Ogos, Batalion 9 PGA Kuala Terengganu merampas seekor burung kakak tua bernilai RM35,000, 10 ekor anak burung’sun conure’ bernilai RM10,000 serta empat ayam laga bernilai RM20,000 di pangkalan haram Sota.
Sementara itu, pada 7 Ogos, sekumpulan penyeludup lari meninggalkan kotak-kotak berisi katak, labi-labi, anak ular, burung kakak tua dan iguana bernilai RM67,600 selepas diserbu anggota Batalion 9 PGA di pangkalan haram Bilal Dollah.
Dalam pada itu, Mat Shukor berkata, sepanjang 10 hari penugasan, vape menjadi penyumbang terbesar kepada rampasan apabila membabitkan nilai berjumlah RM296,000 diikuti rampasan karkas babi seberat 650 kilogram bernilai RM195,000.
Dalam tempoh sama kata beliau, pihaknya menahan 23 lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan, selain merampas pelbagai jenis kenderaan yang digunakan untuk aktiviti menyeludup dengan nilai dianggarkan RM526,000. – UTUSAN ONLINE










