PETALING JAYA: Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini boleh mengurangkan waktu menunggu untuk melakukan sebarang transaksi di Kedai Tenaga menerusi perkhidmatan janji temu dalam talian baru iaitu TNBtemujanji.
TNBtemujanji yang mula diperkenalkan pada 28 Jun lalu itu adalah satu platform digital dengan nilai tambah yang membolehkan pelanggan membuat janji temu di 117 daripada 123 Kedai Tenaga di Semenanjung Malaysia. Kedai Tenaga yang selebihnya pula akan mula menggunakan perkhidmatan ini menjelang hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Retail (Chief Retail Officer) TNB, Datuk. Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB akan terus menawarkan lebih banyak nilai tambah kepada pelanggan, sejajar dengan usahanya dalam meneroka cara-cara baharu bagi memberikan kemudahan yang lebih baik untuk pelanggan berinteraksi.
“Meskipun kami giat mendigitalkan pelbagai pilihan interaksi yang ditawarkan di Kedai Tenaga ke dalam platform myTNB bagi memberikan sokongan yang lebih baik kepada pelanggan, kami juga memahami bahawa terdapat pelanggan yang lebih suka untuk berinteraksi dengan kami secara bersemuka.
“Dengan adanya platform dalam talian bagi membuat janji temu, pelanggan dapat merancang jadual mereka dengan lebih baik berbanding terpaksa menunggu lama bagi giliran mereka. Ini juga adalah antara langkah keselamatan bagi melindungi pelanggan dan pekerja kami menerusi kawalan kumpulan yang lebih baik di Kedai Tenaga semasa pandemik ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tambah beliau, pihaknya mengalakkan semua pelanggan untuk mengambil langkah berjaga-jaga semasa pandemik ini dan memanfaatkan platform myTNB sebaik mungkin bagi mengurangkan interaksi bersemuka yang tidak penting.
“Platform yang mudah digunakan dan mesra pengguna ini, memperkasa pelanggan untuk mengurus akaun mereka pada bila-bila masa, di mana jua,” jelasnya.
Pelanggan hanya perlu melayari portal myTNB www.mytnb.com.my/TNBtemujanji) untuk memilih Kedai Tenaga pilihan mereka dan menetapkan tarikh serta waktu lawatan.
Pelanggan boleh memilih tarikh janji temu sekurang-kurangnya satu hari bekerja lebih awal dan menjadual semula janji temu mengikut keselesaan mereka.
Sejak diperkenalkan, TNBtemujanji telah menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 4,600 janji temu telah dibuat terutama di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
TNBtemujanji menawarkan semua jenis transaksi yang boleh dilakukan di Kedai Tenaga termasuk permohonan bekalan, pembayaran balik deposit dan menyelesaikan isu pengebilan. – UTUSAN










